Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) percaya Datuk Seri Anwar Ibrahim wajar diberi peluang, menghadap Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah untuk dilantik menjadi Perdana Menteri ke-lapan.

Dalam satu kenyataan media pada Jumaat, parti itu berkata, mereka percaya Presiden PKR itu mendapat pencalonan terbesar dari kalangan ahli Parlimen berdasarkan sesi temubual bersama Agong selama dua hari berturut-turut.

“Majlis Presiden percaya bahawa calon Pakatan Harapan, iaitu Datuk Seri Anwar Ibrahim telah mendapat jumlah pencalonan terbesar dalam kalangan ahli-ahli Parlimen berdasarkan proses yang telah ditentukan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong tempoh hari.

“Majlis Presiden percaya bahawa Datuk Seri Anwar Ibrahim wajar diberi peluang untuk menghadap Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong untuk membuktikan keyakinan majoriti ahli-ahli Parlimen terhadap beliau,” menurut kenyataan itu lagi.

Majlis Presiden dalam kenyataan itu berkata, ia meletakkan kepercayaan terhadap proses, budi bicara serta kebijaksanaan Yang di-Pertuan Agong untuk mencari penyelesaian dalam proses pelantikan Perdana Menteri kelapan.