Calon Pakatan Harapan Datuk Seri Anwar Ibrahim berpontensi untuk menang dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Port Dickson.

Ia berdasarkan kaji selidik badan penyelidik pilihan raya Institut Darul Ehsan (IDE) menunjukkan Anwar mendapat peratusan sokongan paling tinggi iaitu sebanyak 74% berbanding enam calon lain.

Sementara calon PAS Lt Kol (B) Mohd Nazari Mokhtar berada di tempat kedua dengan peratusan sebanyak 11% dan calon bebas Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad sebanyak 10%.

Tiga calon bebas yang lain iaitu Stevie Chan Lau Seck Yan dan Kang Chee Yuen masing-masing mendapat peratusan antara 2% dan 1%.

Bagaimanapun, tiada sokongan direkodkan bagi calon bebas Saiful Bukhari.

BACA: PRK Port Dickson: Tiada satu undi pun untuk Saiful Bukhari Azlan - IDE

“Saiful ini tidak ada data sebab beliau tidak langsung disebut pengundi,” kata Timbalan Pengerusi IDE Datuk Dr Profesor Redzuan Othman semasa membentangkan kajian tersebut di Bilik Gerakan Utama, Port Dickson.

Menurut Redzuan, kajian Persepsi PRK Pengundi Port Dickson dibuat dua kali iaitu pertama kali pada hari penamaan dan kedua tiga hari pada awal tempoh berkempen.

Ia membabitkan 1,084 responden daripada lima kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) dan 32 daerah mengundi.

Pengundi luar menjadi penentu dalam PRK Port Dickson.

Kerusi Parlimen Port Dickson dahulunya dikenali sebagai Teluk Kemang mempunyai 75,712 pengundi dengan pecahan pengundi Melayu 43 %, Cina 33% dan India 22%.

Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu Datuk Danyal Balagopal berjaya menang dengan majoriti 36,224 .

Redzuan berkata IDE mendapati peratusan penduduk Port Dikcson keluar mengundi pada Sabtu tinggi iaitu sebanyak 84%.

Bagaimanapu katanya IDE tidak dapat menjangka sentimen pengundi luar.

“Ini kita kira agak kritikal kerana bilangan ahli keluarga yang tinggal di luar kawasan Port Dickson namun mengundi di Parlimen itu sebanyak 68%.”

Selain itu IDE turut mendapati 66% pengundi tetap mengundi parti yang sama seperti PRU14.