Jabatan Penjara Malaysia mengesahkan bahawa Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim boleh dibebaskan pada 8 Jun 2018 iaitu pada hari Jumaat.

Menurut Ketua Pengarahnya, Datuk Seri Zulkifli Omar, menerusi satu kenyataan hari ini, ia selepas Anwar selesai menjalani hukumannya pada 10 Jun 2018 selepas dijatuhkan hukuman 5 tahun penjara mulai 10 Februari 2015.

Mengikut perkiraan berdasarkan ketetapan Seksyen 44, Akta Penjara 1995 serta Peraturan 43 (1) (a) Peraturan-Peraturan Penjara 2000, 1/3 remitan daripada hukuman diberikan kepada mana-mana banduan yang menjalani hukuman melebihi satu bulan.

Juga menurut Peraturan 28 Peraturan-Peraturan Penjara 2000, jika pembebasan seseorang banduan jatuh pada hari kelepasan mingguan atau hari kelepasan am, banduan hendaklah dibebaskan pada hari sebelumnya.

Oleh kerana 10 Jun adalah pada hari Ahad dan 9 Jun pada Sabtu, maka Anwar boleh dibebaskan dua hari lebih awal daripada tarikh sepatutnya.

Tegas Zulkifli lagi, sehingga tarikh kenyataan ini dikeluarkan, pihaknya tidak menerima apa-apa waran atau perintah dari mana-mana pihak berkuasa yang kompeten yang mengarahkan hukuman terhadap Anwar dipinda.

Tarikh pembebasannya pada 8 Jun 2018 itu juga tiada sebarang kaitan dengan pelaksanaan Sistem Parol atau apa-apa perintah dari Lembaga Pengampunan.