Datuk Seri Anwar Ibrahim diumumkan sebagai Ahli Parlimen Port Dickson baru dengan 31,016 undi dan majoriti sebanyak 23,560 undi, menurut Pegawai Pengurus PRK Port Dickson Khairy Maamor.

Anwar berjaya menewaskan enam lagi pencabarnya daripada parti Pas dan Bebas pada Pilihan Raya Kecil (PRK) kali ini.

Ini sekaligus menjawab teka-teki adakah Anwar mampu mendapat undi majoriti tinggi bagi mendapat mandat untuk menjadi Perdana Menteri ke-8.

"Dengan ini saya mengisytiharkan Datuk Seri Anwar Ibrahim dari parti Pakatan Harapan telah dipilih sebagai Ahli Dewan Rakyat baharu bagi kerusi Parlimen P.132 Port Dickson," katanya.

Calon Pas Mohd Nazari Mokhtar pula mendapat undian sebanyak 7,456 dan calon Bebas yang juga merupakan bekas Menteri Besar Negeri Sembilan Tan Sri Isa Samad sebanyak 4,230 undi.

Calon Bebas lain, Lau Seck Yan mendapat 214 undian, Saiful Bukhari Azlan (82), Stevie Chan (337) dan Kan Chee Yuen (154).

"Sebanyak 598 undi ditolak," tambah Khairy.

Peratusan keluar mengundi semasa Hari Pengundian Awal pada 9 September lalu yang melibatkan anggota polis dan tentera adalah 63%.

Parlimen Port Dickson mempunyai lima Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Linggi, Bagan Pinang, Sri Tanjung, Chuah dan Lukut, merangkumi 43 peratus pengundi Melayu, Cina (33 peratus), India (22 peratus) dan lain-lain kaum (2 peratus).

Kerusi Parlimen Port Dickson ini dikosongkan oleh penyandangnya Datuk Danyal Balagopal Abdullah, 68, pada 12 September lalu bagi memberi laluan kepada Anwar untuk kembali ke Dewan Rakyat.

Selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu, tiga PRK telah diadakan iaitu Sungai Kandis, Seri Setia dan Balakong. Ketiga-tiga PRK tersebut mencatat peratusan keluar undi kurang 60%.