Berita  |  Politik

Anwar Ketua Umum, Mahathir Pengerusi, Wan Azizah Presiden Pakatan Harapan

Anwar Ketua Umum, Mahathir Pengerusi, Wan Azizah Presiden Pakatan Harapan
Logo baru Pakatan Harapan yang diperkenal selepas mesyuarat malam tadi.
KUALA LUMPUR: Majlis Presiden Pakatan Harapan mengumumkan struktur kepimpinan baharu malam tadi dengan menamakan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Ketua Umum, Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai Pengerusi dan Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai Presiden.

Pengumuman tersebut dibuat Dr Mahathir yang juga Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) selepas mesyuarat bersama pimpinan Pakatan Harapan yang berlangsung lebih 4 jam.

Bagi jawatan Timbalan Presiden, ia dipegang bersama Presiden PPBM Tan Sri Muhyiddin Yassin, Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng dan Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) Mohamad Sabu.

Barisan Naib Presiden diwakili Timbalan Presiden PKR Datuk Seri Mohamad Azmin Ali, Timbalan Presiden PPBM Datuk Seri Mukhriz Mahathir, Pengerusi DAP Sarawak Chong Chieng Jen dan Timbalan Presiden Amanah Salahuddin Ayub.

Manakala Datuk Saifuddin Abdullah dilantik sebagai Ketua Setiausaha dan M. Kula Segaran sebagai Bendahari.
Turut diumumkan malam tadi, logo baru Pakatan Harapan yang akan dikenali sebagai 'Harapan', dijangka didaftarkan dengan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) selewat-lewatnya dalam tempoh seminggu.

Melalui satu kenyataan media, Pakatan Harapan berkata ia memberi komitmen bahawa proses memohon pengampunan dan pembebasan Anwar akan dimulakan dalam tempoh seminggu selepas Pakatan Harapan membentuk kerajaan.

Permohonan yang dikemukakan mengikut proses undang-undang ini, katanya, dengan perkenan Yang di-Pertuan Agong, akan membolehkan bekas ketua pembangkang itu kembali mengambil bahagian dalam politik negara sepenuhnya.

Pakatan Harapan turut mengumumkan pembaharuan matlamat yang dibuat dengan menyasarkan perubahan politik melalui pilihan raya umum (PRU) yang akan datang.

Katanya, Pakatan Harapan mengambil tanggungjawab untuk membela rakyat dan membina semula negara, menyedari bahawa rakyat mengharapkan perubahan politik negara ke arah pemerintahan yang lebih demokratik, adil dan sejahtera.

"Rakyat juga mengharapkan sebuah kerajaan yang komited untuk melaksanakan reformasi institusi, menjalankan tadbir urus yang baik dan mengutamakan kebajikan rakyat.

"Pakatan Harapan menginsafi bahawa Malaysia di bawah pemerintahan kerajaan Barisan Nasional sedang berada di dalam keadaan krisis yang tenat, terpalit dengan skandal rasuah dan salah guna kuasa yang amat luar biasa, dan rakyat menanggung beban," tambahnya.

Perubahan politik negara yang dimaksudkan ialah pemerintahan yang lebih demokratik, adil dan sejahtera serta sebuah kerajaan yang komited untuk melaksanakan reformasi institusi, menjalankan tadbir urus yang baik dan mengutamakan kebajikan rakyat.

Beberapa matlamat yang digariskan termasuk"

1) Menurunkan kerajaan diketuai Datuk Seri Najib Razak;
2) Membebaskan semua tahanan politik dan menggugurkan semua dakwaan politik; dan
3) Menghadkan perkhidmatan Perdana Menteri kepada dua penggal sahaja.

Pakatan Harapan juga mengumumkan pelaksanaan, antara lain, perkara-perkara berikut dalam tempoh 100 hari selepas PRU, jika diberikan mandat oleh rakyat:

• Menghapuskan GST;
• Menstabilkan harga petrol;
• Memerangi rasuah hingga ke akar umbi;
• Menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Di-Raja Skandal 1MDB; dan
• Memulihkan FELDA