Keputusan memilih untuk bertanding di kerusi Parlimen Port Dickson dibuat sendiri oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim, kata Setiausaha Agung PKR Datuk Saifuddin Nasution Ismail.

Katanya, Anwar memilih Port Dickson selepas tiga ahli Parlimen menulis kepada beliau dan menawarkan kerusi mereka untuk dikosongkan bagi memberi laluan kepada presiden PKR itu.

"Sebagai seorang yang kaya dengan pengalaman politik, saya percaya keputusan yang Datuk Seri (Anwar Ibrahim) buat itu adalah berdasarkan kepada alasan-alasan kuat dan munasabah.

"Sudah tentu alasan munasabah itu mengambil kira faktor kemenangan, dan penilaian itu dibuat sendiri oleh beliau, sudah tentu ia mengambil kira maklum balas yang diterima," katanya kepada Astro AWANI.

Mengulas tentang dakwaan sesetengah pihak bahawa Port Dickson merupakan kawasan yang susah untuk dimenangi, Saifuddin menjelaskan sejak ditubuhkan PKR sentiasa menempuh jalan sukar.

"PKR ini lebih banyak menempuhi jalan sukar berbanding jalan mudah, tetapi PKR sebagai sebuah parti reformasi yang diasuh oleh Anwar, kami diajar mengambil sikap optimis," katanya lagi.

Sebelum ini, Menteri Besar Selangor Amirudin Shari berharap ‘pihak yang menetapkan’ Anwar bertanding di Port Dickson telah membuat kajian terperinci kerana kawasan tersebut tidak boleh dianggap selamat.