Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengulangi kenyataan bahawa beliau tidak menyebut perkataan 'barua' semasa selesai satu sidang media yang tular di media sosial.

Sebaliknya menurut beliau, perkataan yang disebutkan ialah maruah.

Tegas Anwar, beliau tidak akan menyebut perkataan tersebut di hadapan Presiden Amanah, Mohamad Sabu dan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang turut berada di sidang media berkenaan.

"Ada kontroversi hanya kerana saya menyebut maruah, dan ada yang mengatakan saya sebut barua. Saya takkan sebut perkataan itu (barua) di hadapan Mat Sabu dan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir.

"Namun tidak mengapalah, itulah politik," katanya di hadapan ratusan peserta Persidangan Kepimpinan Apex di Bangsar pada Rabu.

Anwar membangkitkan perkara itu semasa menyentuh mengenai isu Dasar Ekonomi Baharu (DEB) dan pembangunan ekonomi negara semasa ucaptama bertajuk "Leading in an Era of Rising Uncertainty and Greater Complevity".

Sebelum ini, sebuah klip video tersebar di media sosial menunjukkan Anwar bergurau kepada Mat Sabu dengan mengatakan Dr Mahathir Mohamad lebih bersemangat selepas menghadiri Kongres Maruah Melayu Ahad lalu.