Jawatankuasa Pas Pusat masih belum menerima sebarang surat daripada pejabat Menteri Besar Selangor berhubung permintaan kepada tiga Ahli Dewan Undangan Negeri untuk melepaskan jawatan Exco.

Malah, Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan turut meragui tindakan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang tidak menyatakan pendirian rasmi.

"Bagi kita (Pas), tidak ada apa-apa arahan daripada dia (Azmin) dan dia pun tidak nafikan bahawa dia minta kita letak jawatan. Itu setakat yang kita tahu.

"Tetapi setakat ini pejabat Pas Pusat tidak menerima apa-apa perkara daripada pejabat Menteri Besar Selangor. Sepatutnya kalau dia hendak minta Exco Pas berhenti, dia kena hantar surat kepada Pas," katanya ketika dihubungi Astro AWANI hari ini.

Malah katanya, pelantikan Exco di negeri itu dibuat di bawah perkenan Sultan Selangor.

Justeru, mana-mana pihak yang ingin Pas melepaskan jawatan tersebut perlu merujuk dan mendapatkan perkenan Sultan Selangor.

"Seseorang Exco yang dilantik memegang jawatan itu adalah atas perkenan Tuanku Sultan. Jadi sekarang ini apabila Exco kita dilantik di Selangor dengan perkenan Tuanku Sultan, kita hanya habis tanggungjawab apabila tidak lagi mendapat perkenan Sultan.

"Kalau ada cadangan untuk Exco Pas di Selangor letak jawatan dan sebagainya, dia mesti datang daripada Tuanku Sultan," katanya.

Beliau turut memaklumkan satu mesyuarat Jawatankuasa Pas Pusat akan diadakan dalam masa terdekat bagi membincangkan kedudukan tiga Exconya di Selangor.