Sebarang tindakan yang diambil Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) ke atas Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) adalah mengikut peraturan selain perlembagaan parti terbabit.

Sehubungan itu, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, PPBM dinasihatkan supaya mengikut permintaan RoS seperti menyerahkan dokumen yang diminta.

“Saya fikir tindakan yang dilakukan RoS untuk meminta supaya pihak kepimpinan PPBM mengemukakan sepenuhnya laporan daripada Mesyuarat Cawangan dan Bahagian hingga ke Himpunan Agung mereka.

“Pada hemat saya, PPBM harus memenuhi syarat-syarat seperti termaktub di dalam perlembagaan mereka sendiri.

“Mengikut Akta Pertubuhan 1956, RoS hanya bertindak mengikut apa yang termaktub dalam perlembagaan PPBM demi kepentingan ahli parti mereka sendiri,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas selepas mempengerusikan Mesyuarat Agung Tahunan Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) kali ke-25 di sini pada Sabtu.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan RoS yang meminta PPBM menyerahkan dokumen yang dikehendaki jabatan berkenaan.

Kegagalan menyerahkan laporan seperti dikehendaki RoS boleh menyebabkan jabatan itu mengeluarkan notis pembubaran ke atas PPBM.

PPBM diberi tempoh selama sebulan bermula 28 Februari lalu untuk memenuhi arahan RoS.