Isu desakan agar Menteri Perpaduan dan Kesejahteraan Sosial, P. Waytha Moorthy meletak jawatan tidak dibangkitkan perwakilan semasa perbahasan Ucapan Dasar Ketua Armada Bersatu.

Sebaliknya, ketuanya Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata Armada banyak memberi fokus kepada isu-isu politik, pendidikan dan peranan sayap itu dalam mencorakkan masa depan parti.

“Desakan agar Waytha Moorthy letak jawatan tiada dalam bahas,” katanya dalam sidang media di Bilik Media PAT Bersatu di sini.

Turut hadir, Ketua Srikandi Bersatu, Datuk Seri Rina Harun.

November lalu, Exco Pendidikan Armada Bersatu, Mohd Ashraf Mustaqim Badrul Munir mendesak Waytha meletak jawatan susulan kenyataan beliau mengenai video lamanya yang tular di media sosial.

Ia turut mendapat reaksi Ahli Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP, Dr P. Ramasamy yang berkata tindakan perlu diambil terhadap Syed Saddiq kerana menghina kebijaksanaan perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mengenai pelantikan Waytha.