Memandangkan banyak aset UMNO kini sudah dibekukan, Presidennya Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, mereka akan lebih berjimat cermat dalam melakukan segala urusan parti.

Namun tegasnya lagi, ia tidak bermaksud mereka akan terhenti dari melakukan politik khidmat bakti, terutamanya kawasan yang mempunyai wakil rakyat dari UMNO.

Beliau berkata, UMNO akan menggunakan kaedah 'low cost, high impact', dalam urusan pentadbiran, termasuk ketika melakukan program khidmat bakti di kawasan yang diwakili mereka

Selain itu, Ahmad Zahid Hamidi berkata, parti itu akan cuba mendapatkan kembali aset yang diletakkan di bawah penama (trustees).

Ketika menggulung Perhimpunan Agung UMNO ke-72 di Pusat Dagangan Dunia Putra malam ini, beliau berkata, perkara itu akan diuruskan jawatankuasa khas yang diterajui Bendahari Agungnya iaitu Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.

"Usaha mengembalikan aset ini akan dibawa kepada Jawatankuasa Pengurusan Umno dan dibentang secara telus kepada ahli Majlis Tertinggi.

“Kita dapati ada dalam kalangan penama ini yang presiden terdahulu letak kepercayaan bagi pihak Umno, tetapi apabila diminta kembali, mereka mengatakan kesemua itu hak mereka,” katanya lagi.

Dalam pada itu, beliau menafikan kenyataan segelintir pihak bahawa parti itu masih mempunyai aset yang bernilai berbilion ringgit.

“Orang beri bayangan seolah-olah kita ada aset berbilion ringgit tetapi apabila saya lihat laporan ketua pegawai eksekutif dan pemegang saham Umno, saya lihat harta kita tak sebanyak itu,” katanya lagi.