Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki menawarkan diri untuk bertanding sebagai Ketua Pemuda UMNO.

Beliau yang juga bekas Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, membuat keputusan itu selepas mengambil kira lima agenda perubahan.

"Lima agenda utama harus difokuskan untuk memaknakan perubahan ini, iaitu pengkaderan (pembentukan karakter), pentarbiyahan, pemantapan ilmu, pengukuhan jati diri, dan pemerkasaan rohani.

"Berpandukan lima agenda inilah, dengan penuh rasa keinsafan, amanah dan tanggungjawab saya menawarkan diri sebagai calon Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia," katanya dalam satu kenyataan di Facebook miliknya hari ini.

Ujarnya, ujian yang melanda UMNO kini merupakan satu isyarat Allah agar setiap pendokong parti benar-benar menjiwai makna perjuangan sejati.

"Sekiranya perjuangan untuk mengejar pangkat dan kebendaan, hakikatnya pangkat dan kebendaan sudah tiada. Yang tinggal hari ini hanyalah sisa-sisa perjuangan yang menagih kesetiaan dan keikhlasan setiap warga untuk melakukan perubahan dalam parti," katanya lagi.

Ujar beliau, perubahan dalam UMNO harus bermula dengan pembangunan generasi muda sebagai pewaris perjuangan.

"Pemuda perlu disuntik dengan idealisme, roh dan semangat pengorbanan berteraskan prinsip Islam sejati, sebagaimana perjuangan UMNO sejak awal penubuhannya," ujar beliau.

Majlis Tertinggi UMNO sebelum ini menetapkan tarikh persidangan tahunan Cawangan UMNO dan Pergerakan Wanita, Pemuda serta Puteri UMNO dimulakan pada 19 Mei 2018 sehingga 10 Jun 2018.

Mesyuarat UMNO di peringkat bahagian pula ditetapkan pada 30 Jun 2018 dan kesemua persidangan ini dijalankan secara serentak dengan pemilihan parti di semua peringkat.