Satu rakaman suara yang didakwa dari mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pada 23 Februari lepas tersebar di internet sejak Selasa malam.

Menurut sumber, audio rakaman tersebut merupakan sebahagian daripada intipati mesyuarat yang berlangsung dimana majoriti ahli MPT Bersatu bersetuju untuk keluar daripada PH.

Menerusi rakaman itu, satu suara mirip kepada Presiden Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yassin yang meminta aggota MPT menyerahkan kepada Pengerusi parti Tun Dr Mahathir Mohamad sama ada parti itu perlu kekal dalam Pakatan Harapan (PH) atau sebaliknya.

"Tapi kita harap Tun akan buat rombakan kabinet dalam tempoh sebelum parlimen bersidang...tempoh seminggu ini selesai semua sekali.

"Dan di kala itu mungkin kita boleh tunggulah bila Tun jumpa dengan Ketua Presiden Parti, ok we wait for one week, for whatever it is, then we will be more sober, hari ni a bit emotional.

"Dan kita fikirkan soal yang paling besar dalam sejarah kita iaitu out of PH moving to the coalition but we still be the goverment. Goverment led by Bersatu. That is important," kata lelaki dalam rakaman audio berkenaan.

BACA: Tun M masih Pengerusi Bersatu - Mukhriz

Menurut sumber dari Bersatu, rakaman tersebut adalah asli dan ia mula dibocorkan menerusi laman pro-Mahathir.

Audio rakaman tersebut merupakan sebahagian daripada intipati mesyuarat yang berlangsung sebelum Tun M meletak jawatan.

"It is Tun punya kebijaksanaan. Tak pernah kita ragukan kebijaksanaan Tun. There must be some wisdom. He's been a Prime Minister for so long, we have to respect Tun. So we have to do whatever he says us to do.

"Jadi kalau begitu kalau setuju kita boleh tamatkan mesyuarat. Keputusan kita pada dasar kita hormat pandangan Tun, kita faham apa dia maksudkan tapi bagi sedikit masa," kata lelaki itu.

Rakaman audio ini muncul ketika Bersatu kini berdepan kemelut yang menyaksikan parti itu terpecah dua kepada kumpulan menyokong Dr Mahathir dan satu lagi kumpulan Muhyiddin.

Persoalannya, adakah rakaman penuh audio mesyuarat MPT Bersatu berkenaan akan didedahkan kepada umum?

Pada 24 Februari, sehari selepas mesyuarat MPT Bersatu, Dr Mahathir meletak jawatan sebagai Perdana Menteri ketujuh atas alasan partinya tidak lagi bersama PH.

Dr Mahathir kemudiannya dilantik sebagai Perdana Menteri sementara (interim) oleh Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Kemelut politik negara lebih seminggu ini berakhir apabila Yang di-Pertuan Agong berkenan melantik Muhyiddin sebagai perdana menteri kelapan.

Muhyiddin kemudiannya mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri pada 1 Mac.