Timbalan Presiden PKR Datuk Seri Mohamed Azmin Ali nafi mengeluarkan kata dua kepada Anggota Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor (Exco) daripada PAS sama ada mereka meletak jawatan atau parti mereka tidak bertanding di dalam Pilihan Raya Kecil Parlimen Sungai Besar bulan depan.

Beliau berkata tumpuan sekarang ialah berbincang dengan parti-parti pembangkang untuk bertanding dalam kerusi parlimen itu.

"Saya bertemu dengan Parti Amanah Negara hari ini. Kata dua? Tidak ada. Itu tidak benar. Tumpuan kami ialah membincangkan soal kerusi dahulu dan ia masih belum selesai," kata beliau kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan Majlis Tindakan Ekonomi Selangor di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas laporan sebuah portal akhbar berbahasa Inggeris yang melaporkan beliau telah meminta Exco kerajaan negeri daripada PAS untuk meletak jawatan Isnin ini jika parti mereka berkeras untuk bertanding di dalam pilihan raya kecil itu.

Laporan itu berkata Mohamed Azmin mahukan PKR bertanding di kerusi itu dan bukannya Amanah atau PAS.

Ditanya sama ada PAS akan kekal dalam pentadbiran Selangor jika ia bertanding, Menteri Besar Selangor itu berkata:"Jangan terburu-buru membuat kesimpulan."

Hari mengundi bagi Pilihan Raya Kecil Sungai Besar ialah pada 18 Jun manakala penamaan calon pada 5 Jun dan undian awal pada 14 Jun.

Kerusi parlimen itu kosong berikutan kematian penyandangnya yang juga Timbalan Menteri Industri Perladangan dan Komoditi Datuk Noriah Kasnon dalam nahas helikopter di Sebuyau, Sarawak, pada 5 Mei lepas.