Menteri Besar Selangor, Mohamed Azmin Ali berkata beliau tidak dapat tidur selama dua bulan ini kerana memikirkan masalah-masalah negara seperti derma dana politik, kejatuhan nilai ringgit dan kepimpinan di Putrajaya.

Beliau tidak menganggap Gerakan Harapan Baru (GHB) sebagai satu masalah kepada PKR sebaliknya mereka merupakan sahabat dalam pembangkang.

Beliau yang juga Timbalan Presiden PKR berkata, hubungan yang terjalin dengan gerakan berkenaan juga kukuh dan tidak pernah mempunyai sebarang masalah dengan mana-makan kumpulan dalam pembangkang.

"Saya tak susah hati sebab mereka semua ini adalah sahabat-sahabat saya.

"Saya susah hati sebab derma terlalu besar, saya susah hati nilai ringgit dah susut, saya susah hati ekonomi sudah gawat, saya susah hati masalah kepimpinan di Putrajaya, itulah saya tidak dapat tidur selama dua bulan ini," katanya kepada pemberita pada Majlis Pelancaran dan Pendaftaran Rumah Selangorku Idaman, Kampung Seri Temenggung, Selayang hari ini.

Projek berkenaan yang dijangka siap pada 2019 menyediakan 418 unit pangsapuri bagi pemohon dengan pendapatan isi rumah tidak melebihi RM8,000 sebulan.

MB Selangor hilang tidur memikirkan masalah negara