Mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat PKR hari ini memutuskan Timbalan Presiden Datuk Seri Mohamed Azmin Ali serta Naib Presiden Zuraida Kamaruddin dipecat sebagai anggota parti berkuat kuasa serta-merta.

Setiausaha Agung PKR Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, tindakan drastik itu diambil kerana tindakan kedua-dua individu berkenaan pada Ahad dianggap satu pengkhianatan terbuka dan mampu menjejaskan kestabilan Pakatan Harapan (PH).

“Akibat pengkhianatan terbuka yang dipimpin beberapa dalang utama, ia menyebabkan keadaan yang boleh menjejaskan kerajaan PH.

"Jadi, ia membawa kesan kepada ekonomi dan politik seperti yang kita tengok hari ini, ringgit dan Bursa jatuh dan sebagainya.

“Oleh demikian, MPP atas keputusan secara konsensus, tak ada suara yang berbeza, telah ambil ketetapan, Azmin dan Zuraida dipecat dari keahlian serta merta,” katanya pada satu sidang media, di sini hari ini.

Dalam pada itu, Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu itu berkata, kedua-dua individu berkenaan masih boleh merayu seperti biasa, namun ia terpulang kepada keputusan Lembaga Rayuan parti.

Selain itu, tambahnya, beberapa pimpinan PKR yang dilihat bersubahat atau bersama dengan Azmin dan Zuraida akan diberi surat tunjuk sebab untuk menjelaskan sejauh mana penglibatan mereka dalam episod ‘pengkhianatan’ itu.

Buat masa ini, Saifuddin berkata, MPP tidak membincangkan sama ada kedua-dua jawatan yang kosong itu perlu dipangku serta-merta.