Anggota Parti Keadilan Rakyat (PKR) diingatkan untuk lebih ikhlas dalam perjuangan memulihkan negara dan bukan bercakaran sesama sendiri.

Pengerusi Majlis Penasihat PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, walaupun terdapat perbezaan pendapat antara beberapa pemimpin dengan presiden parti, Datuk Seri Anwar Ibrahim, tegasnya ia tidak boleh dijadikan alasan untuk mengenepikan agenda mengangkat martabat negara selepas menerima mandat rakyat.

"Jangan kita tewas apabila kita diuji dengan ghanimah, diuji dengan kekuatan, kekayaan, pangkat dan jawatan tetapi biar kita ingat diri. Saya ingat diri saya, kerana apa saya ingat? Saya lalui semua ini.

"Saya ingat pernah ada makcik datang beri sumbangan 50 sen sebagai tanda sokongan perjuangan parti reformasi ini dan itulah perjuangan yang ikhlas yang tidak boleh dibeli dan tiada nilai harganya. Itu yang kita mahu," katanya ketika menyampaikan ucapan di pentas penutupan Kongres Nasional Tahunan PKR ke-14 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) di sini hari ini.

Pada ucapan yang cukup bersemangat dihadapan kira-kira 880 perwakilan PKR itu, Wan Azizah yang juga Timbalan Perdana Menteri turut menasihati perwakilan untuk sentiasa berlapang dada menerima teguran akar umbi.

"Saya kira kalau sesiapa kata Kak Wan ini tidak betullah, itu saya ambil maklum.

"Kalau perwakilan tegur sedikit sebanyak boleh lah kan, jangan ambil hati tetapi cuba baiki. Kitakan manusia ada kesalahan dan kelemahan," selorohnya sambil disambut hilai tawa perwakilan.