Pengerusi Pakatan Harapan, Tun Dr Mahathir Mohamad mendakwa terdapat banyak kesalahan undang-undang dalam notis yang dikeluarkan oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (Ros) kepada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM).

Antara yang didakwa kesalahan undang-undang yang dilakukan RoS dalam notis pembubaran sementara PPBM pada Khamis ialah ia tidak dihantar kepada individu yang patut menerimanya.

"Sebaliknya notis ini dihantar kepada individu yang namanya tidak terdapat dalam notis dan alamat yang dihantar berlainan dengan pejabat PPBM.

"Pada masa yang sama salinan tidak dihantar kepada pegawai yang sepatutnya malah saya tidak menerima notis ini, saya hanya menerima salinan faks yang dihantar oleh kakitangan kami," katanya pada sidang media yang diadakan di ibu pejabat PPBM di Petaling Jaya pada Khamis malam.

Dr Mahathir juga mendakwa PPBM telah menjawab persoalan yang dikemukakan oleh RoS termasuk menjelaskan kenapa tidak menyerahkan minit mesyuarat.

Katanya sebagai sebuah parti baharu, PPBM belum mempunyai cawangan dan disebabkan itu mesyuarat cawangan tidak dapat diadakan.

"Ros mendakwa kami tidak menjawab apa yang mereka kemukakan sebenarnya telah kami jawab sepenuhnya, contohnya Ros telah diberitahu bahawa kami tidak mempunyai cawangan.

"Oleh itu cawangan tidak boleh menghantar minit mesyuarat kerana tidak ada cawangan jadi tidak ada mesyuarat tapi RoS tetap bertanya tentang minit mesyuarat," katanya lagi.

Dr Mahathir menjelaskan PPBM akan mengemukakan rayuan kepada menteri dalam negeri dalam masa terdekat berhubung notis tersebut.

Beliau juga menegaskan biarpun RoS telah membubarkan sementara PPBM, namun mereka akan tetap bertanding pada PRU14 nanti.

Pengumuman tentang logo yang bakal digunakan akan diumumkan dalam satu ceramah yang akan diadakan di Gelang Patah pada Jumaat.