Tepat seperti diramal, Parti Komponen Sarawak membuat keputusan keluar Barisan Nasional (BN) berkuat kuasa serta-merta.

Parti Komponen Sarawak itu terdiri daripada Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB); Parti Rakyat Sarawak (PRS); Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) dan Parti Demokratik Progresif (PDP).

Keputusan keluar BN sekali gus pembubaran itu menjadi sejarah selepas 44 tahun menjadi kerajaan pemerintah Negeri Bumi Kenyalang tersebut.

Presiden PBB, Datuk Abang Johari Tun Openg berkata, gabungan parti komponen Sarawak itu menubuhkan Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan sedang mendaftarkannya di Jabatan Pendaftar Pertubuhan (RoS) dalam waktu terdekat.


Katanya, keputusan itu juga akan dimaklumkan kepada kepimpinan Barisan Nasional, Speaker Dewan Undangan Negeri, Sepaker Dewan Rakyat dan Speaker Dewan Negara.

"Parti baharu ini akan mengambil pendekatan mesra Pakatan Harapan, tetapi tidak menyertai gabungan mereka.

"Bagaimanapun, parti baharu ini akan menjalinkan kerjasama dengan Kerajaan Persekutuan demi kepentingan negara," katanya pada sidang media khas di Kuching.

Sehubungan itu, kedudukan wakil rakyat Pakatan Harapan dalam Dewan Undangan Negeri Sarawak kekal berada di blok pembangkang.

Sarawak dijangka mengadakan Pilihan Raya Negeri selewat-lewatnya pada tahun 2021.