Parti Peribumi Bersatu Malaysia (PPBM) terbuka untuk membentuk kerjasama dengan semua parti pembangkang dalam pilihan raya umum akan datang.

Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, pihaknya telah pun menandatangani perjanjian kerjasama dengan Pakatan Harapan dan menganggapnya sebagai satu perkembangan positif.

"Ini merupakan perkembangan baik sebagai sebuah gabungan politik yang mampu menumbangkan Barisan Nasional.

"Gabungan yang disertai oleh semua parti pembangkang ini boleh kita namakan Barisan Rakyat untuk menentang Barisan Nasional.

"Jangan tunggu lama-lama kerana kita mesti serius kerana masa tidak menyebelahi kita," katanya semasa berucap di Majlis Pelancaran PPBM yang dihadiri sekurang-kurangnya 5,000 orang pada Sabtu.

Jelasnya, PPBM memperjuangkan keadilan sosial dan keadilan ekonomi tanpa menggadai kepentingan Melayu.

"Kita berjuang untuk mengagih kekayaan negara secara adil dan saksama tanpa mengira kaum dan agama serta mendokong prinsip bahawa setiap rakyat berhak untuk mendapatkan pendidikan yang berkualiti dan sempurna.

"Semua ini bukan sekadar pernyataan dasar atau harapan parti, tetapi matlamat perjuangan yang termaktub secara jelas di dalam Perlembagaan.

"Saya ingin tegaskan, selagi ada bulan dan bintang,m PPBM tetap mempertahankan kedudukan istimewa Melayu dan peribumi Sabah dan Sarawak seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan," katanya lagi.