Bekas Menteri kembali ke kabinet, Timb.Menteri naik pangkat, Husni letak jawatan

Bekas Menteri kembali ke kabinet, Timb.Menteri naik pangkat, Husni letak jawatan
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan rombakan kabinet di Bangunan Perdana Putra hari ini. Turut hadir Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr Ali Hamsa (kiri). - Gambar Bernama
PUTRAJAYA: Bekas menteri dan seorang timbalan menteri dilantik sebagai menteri penuh dalam rombakan dan penyusunan semula Kabinet yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini.

Pengumuman senarai anggota Kabinet baharu dilakukan Perdana Menteri di Jabatan Perdana Menteri di sini sekitar jam 3.15 petang.

Najib berkata rombakan kali ini adalah bagi mengukuhkan lagi pentadbiran sedia ada bagi memastikan agenda pembangunan kerajaan untuk terus berjalan dengan baik.

"Penyusunan semula beberapa portfolio Menteri Kabinet, pelantikan semula seorang bekas Menteri dan beberapa Timbalan Menteri untuk memantapkan lagi pentadbiran sedia ada. Ia juga bagi mengisi kekosongan Menteri Persekutuan dan Timbalan Menteri Persekutuan," kata Najib.

Menurut Najib, Menteri Kewangan II, Datuk Seri Husni Hanadzlah telah mengambil keputusan untuk meletak jawatan atas sebab peribadi dan jawatan ini akan diambil alih oleh Datuk Johari Abdul Ghani.

Jawatan Menteri di Jabatan di Perdana Menteri yang sebelum ini yang dipegang Tan Sri Wahid Omar pula digantikan Datuk Abdul Rahman Dahlan yang kini akan menerajui Unit Perancang Ekonomi (EPU).

Bagi jawatan Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Mah Siew Keong telah dilantik selepas peletakan jawatan oleh Datuk Seri Douglas Uggah Embas.

Jawatan Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Tan Sri Noh Omar telah dilantik menggantikan Abdul Rahman.
Sementara itu, bagi kekosongan jawatan Timbalan Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi, Datuk Datu Nasrun Datu Mansur dilantik, menggantikan pemergian Tan Sri Noriah Kasnon dalam kejadian nahas udara bulan lepas.

Lima lagi Timbalan Menteri yang dilantik adalah Datuk Othman Aziz (Kementerian Kewangan), Datuk Henry Sum Agong (Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan), Datuk Seri Devamany a/l S.Krishnasamy (Jabatan Perdana Menteri), Datuk Lee Chee Leong (Kementerian Kewangan) dan Datuk Chua Tee Yong (Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri).

Najib turut mengumumkan pelantikan Menteri Persekutuan dan Timbalan Menteri Persekutuan yang telah diperkenan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong.

BACA: LAPOR LANGSUNG: Rombakan Kabinet 2016

Dua Menteri Persekutuan yang dilantik, Tan Sri Noh Omar dan Datuk Johari Abdul Ghani dan empat Timbalan Menteri Persekutuan, Datuk Othman Aziz, Datuk Datu Nasrun Aziz, Datuk Henry Sum Agong dan Datuk Seri Devamany a/l S.Krishnasamy.


Jelas Najib, penyusunan semula tugas Menteri-Menteri di bawah Jabatan Perdana Menteri akan diumumkan dalam masa terdekat.

Ketika membuat pengumuman itu dalam sidang media di sini, Najib turut memaklumkan Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah berhasrat menamatkan perkhidmatan sebagai Menteri Kewangan Kedua atas sebab peribadi, selain akan menyusun semula tugas menteri-menteri di bawah Jabatan Perdana Menteri.

Tan Sri Noh Omar, bekas Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, dibawa masuk untuk menerajui Kementerian Kesejahteraan  Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan manakala Timbalan Menteri Kewangan Datuk Johari Abdul Ghani dinaikkan pangkat sebagai Menteri Kewangan Kedua.

Najib juga mengumumkan pelantikan tiga timbalan menteri baharu dan seorang bekas timbalan menteri ke dalam Kabinet bagi memantapkan pentadbiran.

"Ini akan mengukuhkan lagi pentadbiran sedia ada bagi memastikan agenda pembangunan kerajaan untuk rakyat -  pembangunan ekonomi, kebajikan dan keselamatan – terus berjalan dengan baik sebagaimana yang telah dijanjikan," katanya.

Mah, yang juga Presiden Gerakan, sebelum ini Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang bertanggungjawab untuk mengetuai lembaga wakaf Hindu, menyelia Unit Inovasi (UNIK), bertanggungjawab terhadap organisasi yang berurusan dengan tenaga nuklear dan Kumpulan Teknologi Tinggi Industri Kerajaan Malaysia (MIGHT) manakala Abdul Rahman juga merupakan Pengarah Strategik Komunikasi Barisan Nasional (BN).

Najib berkata selaras dengan perenggan (b) Fasal (2) Perkara 43 Perlembagaan Persekutuan mengenai pelantikan Menteri Persekutuan dan Fasal (1) Perkara 43A mengenai pelantikan Timbalan Menteri Persekutuan, Yang di-Pertuan Agong telah memperkenankan pelantikan-pelantikan tersebut.


Beliau berkata rombakan Kabinet kali ini adalah bagi mengisi kekosongan menteri persekutuan dan timbalan menteri persekutuan.

Ini termasuk peletakan jawatan Douglas Uggah yang telah bertanding pada Pilihan Raya Negeri Sarawak (PRN-11) pada Mei lepas dan kemudiannya dilantik sebagai Timbalan Ketua Menteri Sarawak.

Wahid juga telah membuat keputusan untuk tidak meneruskan tempoh perkhidmatan sebagai Senator yang tamat pada bulan ini dan seterusnya sebagai menteri di jabatan perdana menteri.

Selain itu, terdapat juga kekosongan jawatan timbalan menteri perusahaan, perladangan dan komoditi setelah pemergian ke Rahmatullah penyandangnya Noriah dalam nahas udara Mei lepas.

Rombakan Kabinet hari ini merupakan kali ketiga dilaksanakan Najib.

Najib melakukan rombakan Kabinet pertamanya pada 25 Jun 2014 melibatkan penyertaan semula pemimpin parti komponen Barisan Nasional (BN) daripada Gerakan dan MCA dalam barisan Kabinet.

Ia termasuk pelantikan Presiden MCA Datuk Seri Liow Tiong Lai sebagai Menteri Pengangkutan, Timbalan Presiden MCA Datuk Wee Ka Siong sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Mah selaku Presiden Gerakan sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri.

Najib ketika melakukan rombakan Kabinet yang kedua pada 28 Julai 2015 berkata ia dilakukan untuk memperkukuhkan barisan dalam menghadapi cabaran dalam menguruskan negara sebelum pilihan raya umum ke-14 (PRU14).

Rombakan tersebut menyaksikan pelantikan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sebagai Timbalan Perdana Menteri menggantikan Tan Sri Muhyiddin Yassin yang digugurkan.