Rakyat Malaysia perlu mengelakkan kemelut politik daripada berlarutan dan berulang, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri.

Bekas Mufti Wilayah Persekutuan itu berkata, rakyat sebaliknya perlu bersama-sama membina negara yang aman dan dipenuhi dengan kasih-sayang.

“Rakyat perlu realisitik dan tidak mudah terpengaruh dengan badai politik yang berpunca daripada sentimen semata-mata.

“Kita mengharapkan doa daripada seluruh rakyat untuk bersama-sama membina sebuah negara yang aman damai dan makmur, rakyat hidup harmoni, saling bertoleransi, berkasih sayang, rahmah dan saling hormat-menghormati.

“Insya-Allah badai politik yang semata-mata kerana sentimen dapat dibanteras. Sama-sama kita berpijak pada bumi yang nyata dan katakan, inilah negara yang kami cintai, tanah watan yang kami mahu bina dengan sebaik mungkin,” katanya selepas mengangkat sumpah sebagai ahli Dewan Negara di sini, pada Selasa.

Sementara itu, bekas Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan CIMB Holdings Bhd, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz yang dilantik sebagai Menteri Kewangan, berharap diberi ruang untuk mengambil tindakan yang wajar bagi memulihkan ekonomi negara.

"Saya rasa apa yang kita perlukan sekarang adalah fokus terhadap cabaran dihadapi ekonomi Malaysia," katanya.

Setiausaha Eksekutif Barisan Nasional (BN), Datuk Dr Ahmad Masrizal Muhammad, yang dilantik sebagai Timbalan Menteri Alam Sekitar, berkata beliau akan melihat dengan teliti pembaharuan yang dilakukan sebelum ini.

Beliau berkata, komitmen kerajaan yang mahu negara ini membangun dalam pelbagai aspek termasuk alam sekitar merupakan agenda penting yang perlu diutamakan.

"Ini penting untuk generasi akan datang. Itulah antara komitemen kerajaan yang saya fikir perlu kita jadikan sebagai agenda semua rakyat dalam negara kita ini," jelas beliau.