Bekas timbalan ketua menteri Sabah, Datuk Raymond Tan Shu Kiah mengumumkan penyertaannya dalam Parti Warisan Sabah (Warisan) hari ini.

Raymond yang juga bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Papat, menyerahkan borang keahlian kepada Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dalam sebuah majlis di sini.

Beliau yang merupakan bekas pengerusi Parti Gerakan merupakan antara nama yang disebut-sebut bakal dicalonkan pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Sandakan selepas tewas di DUN Tanjung Papat – yang terletak dalam Parlimen Sandakan pada pilihan raya umum (PRU) yang lalu.

Mohd Shafie ketika ditemui media berkata, beliau diajukan pelbagai soalan apabila wujud desas-desus yang menyatakan bahawa beliau akan menerima Raymond dalam Warisan.

"Sebenarnya, dia (Raymond) ada jumpa dengan saya agak awal dan menyatakan tentang hasratnya untuk membantu perjuangan ini, bukan pasal apa-apa pun.

"Dia tidak minta dicalonkan, dia tidak minta untuk dilantik (jawatan parti). Cuma ingin membantu supaya keadaan di peringkat negeri Sabah atas dasar pengalaman beliau dan kita yakin bahawa ini satu jalan yang baik," jelas Mohd Shafie.

Sementara itu, Raymond ketika ditemui media pada majlis sama berkata, beliau membuat keputusan menyertai Warisan atas permintaan Mohd Shafie.

"Ini pun bukan keputusan saya sendiri di mana saya dengan rakan-rakan seperjuangan sewaktu kami keluar Parti Gerakan, kita fikirkan landasan yang lebih baik adalah bagaimana untuk bantu memperkuatkan lagi pergerakan pentadbiran negeri Sabah.

"Kalau boleh, kita sama-sama menyumbang kepada parti Warisan yang dipimpin Shafie di mana dengan cara itu kita akan membangunkan Sabah dengan satu pergerakan yang lebih kuat," katanya.

Pada PRU lalu, beliau yang bertanding di DUN Tanjung Papat mewakili Barisan Nasional tewas kepada calon DAP, Poon Ming Fung dengan majoriti 1,816 undi.