Tutup

Beli Mercedes sebab keperluan, kereta dah lebih tempoh - Mohd Amar

Beli Mercedes sebab keperluan, kereta dah lebih tempoh - Mohd Amar
Kerajaan Negeri Kelantan mengakui membeli kereta Mercedes Benz E Class (seperti dalam gambar) kerana keperluan semasa dan mengikut kemampuan kewangan negeri. -Gambar hiasan
KOTA BHARU: Kerajaan Negeri Kelantan mengakui membeli kereta Mercedes Benz E Class kerana keperluan semasa  mengikut kemampuan kewangan negeri, dan menafikan ia satu tindakan tidak berhemat seperti didakwa.

Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata ia juga untuk keselesaan para exco dan pegawai tinggi kerajaan kerana mereka sentiasa berurusan menggunakan kereta untuk jarak yang jauh.
"Kita beli berdasarkan kemampuan yang ada; kalau kita ada duit setakat ini, kita beli setakat ini.

“Memang kita tak kaya seperti negeri lain, tapi kita beli kereta itu ikut kemampuan sebab kereta yang ada dah lebih tempoh," kata Mohd Amar kepada pemberita selepas Mesyuarat Mingguan Exco Kerajaan Negeri di sini pada Rabu.
Beliau berkata kerajaan membenarkan pertukaran kereta selepas lima tahun dan pembelian Mercedes tersebut adalah mengikut keperluan dan peraturan.

"Ikut peraturan, selepas lima tahun boleh ditukar, itu pun ada sesetengah kereta dah lebih 10 tahun," kata beliau.


Mercedes Benz yang dibeli seperti dakwaan Husam itu adalah untuk kegunaan Setiausaha Kerajaan Negeri kerana kereta yang digunakan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri dahulu telah dijual.

"Biasanya selepas pilihan raya, exco minta beli kereta yang mereka guna, jadi exco baru tak ada kereta."

Tambah Mohd Amar, pertukaran kereta kerajaan daripada Proton Perdana kepada jenama Mercedes Benz  itu bukan isu besar kerana ia telah dilakukan sejak zaman bekas menteri besar Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat lagi.

"Dan masalah beli Mercedes ini bukan hari ini, masa Tok Guru dah beli Mercedes; Tok Guru sendiri pakai Mercedes Benz S Class."

Mohd Amar berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataaan Pengerusi Pakatan Harapan Kelantan, Senator Husam Musa semalam yang mendakwa kerajaan negeri Kelantan membeli sebuah kereta Mercedes Benz untuk kegunaan pegawai tingginya di kala kerajaan Kelantan menghadapi defisit perbelanjaan.

Husam dalam sidang medianya turut mendakwa pembelian kereta Mercerdes Benz itu satu tindakan yang tidak berhemat.

Sementara itu, Mohd Amar berkata kerajaan negeri juga sudah menempah empat buah lagi Mercerdes Benz E Class untuk kegunaan exco Kerajaan negeri.