Belum ada keperluan bagi UMNO untuk mengambil apa-apa tindakan terhadap bekas Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah susulan tindakannya menyentuh isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB) di Dewan Rakyat, ujar Ketua Penerangan UMNO, Tan Sri Annuar Musa.

Malah, jelas Annuar, ahli UMNO itu tidak membangkitkan perkara berkenaan dari sudut parti.

"Saya tidak boleh kata mungkin (dibangkitkan) tetapi peraturan dalam parti lain, peraturan undang-undang satu skop yang lain. Buat masa ini belum ada keperluan untuk peringkat parti mengambil apa-apa tindakan," katanya semasa ditemui media di lobi Parlimen di sini hari ini.

Ahmad Husni juga dilihat tidak melanggar disiplin parti.

"Itu kita nak kena tengok. Ahli-ahli parlimen kita bebas untuk bersuara dan dari sudut parti juga, sebelum ini ada ahli parlimen dari parti yang menegur kerajaan. Jadi dari sudut itu, kita tidak nampak dia melanggar apa-apa peraturan parti," katanya lagi.

Bagaimanapun katanya, dari segi undang-undang semasa, pihak polis perlu siasat dan menentukan tindakan Ahmad Husni berkenaan.

"Namun siasat tidak bermakna beliau salah," tambahnya.

Jelasnya, terdapat perkara tertentu di dalam parlimen yang tidak tertakluk kesemuanya di bawah imuniti Ahli Parlimen.

"Masih ada perkara yang tertakluk kepada peraturan tertentu. Misalnya kita menyentuh mengenai Raja-Raja Melayu, melibatkan unsur hasutan, fitnah. Sebab itu, biar polis siasat," kata beliau lagi.

Tegas beliau, tindakan menyentuh mengenai isu 1MDB tidak semestinya menjadi satu kesalahan, namun ia bergantung kepada sesuatu keadaan.

"Ramai yang menyentuh mengenai 1MDB. Saya pun. Saya tidak rasa sentuh mengenai 1MDB menjadi satu kesalahan, namun ia mungkin ada perkara-perkara lain," tegasnya.

Semasa perbahasan ucapan Bajet 2017, Ahmad Husni meminta kerajaan menyatakan sebab 1MDB ditubuhkan dan sama ada jika sebarang tindakan diambil terhadap pengurusan 1MDB kerana menyalurkan dana syarikat pelaburan negara itu ke tempat yang salah.