Belum ada serahan nama MB Johor - Anwar Ibrahim

Belum ada serahan nama MB Johor - Anwar Ibrahim
Anwar ketika menyampaikan ceramah pada kempen PRK DUN Rantau di Siliau, Negeri Sembilan pada Khamis. - Astro AWANI/Sahlizah Mohamed
SEREMBAN: Ketua Umum Pakatan Harapan, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan belum ada sebarang serahan nama kepada pihak Istana Johor berhubung pengganti menteri besar negeri itu.

Menurut Anwar, ia berikutan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar kini sedang bercuti.

“Tuanku sedang bercuti. Tanya Tun Mahathir,” katanya pada Khamis.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada sidang media selepas menyampaikan ceramah pada kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau di Siliau, Negeri Sembilan.

Terdahulu, Menteri Besar Johor, Datuk Osman Sapian meletakkan jawatan berkuat kuasa Isnin.

Berita peletakan jawatan itu diumumkan perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dalam sidang media di Parlimen pada Selasa.

“Saya dah jawab keputusan ikut perlembagaan. Usul nama dan parti yang mendapat mandat majoriti dipersembahkan kepada Tuanku untuk diperkenan.

“Perlembagaan jelas. Maknanya calon yang dipercayai akan mendapat dukungan majoriti Ahli Dewan Undangan Negeri adalah seperti apa yang disebut Tun Mahathir.

“Nama itu dikemukakan dan kita bersetuju nama itu dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang mendapat dukungan majoriti dan tunggu perkenan Tuanku,” katanya.