Kenyataan sesetengah pihak yang mahu bantuan kerajaan kepada rakyat dihentikan dilihat sebagai "aneh", kata Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia Tun Dr Mahathir Mohamad.

Kata beliau ini kerana mereka yang berpandangan sedemikian telah mendapat kemajuan kerana dibantu oleh kerajaan dengan diberi peluang dan tempat dalam kerajaan.

Menurut Dr Mahathir yang juga perdana menteri, "tongkat" bagi membantu mereka yang lemah akan diteruskan, namun tidak patut dikekalkan.

Jelas beliau, sesudah kekuatan kembali, "tongkat" itu perlu digugurkan.

"Pendapat bahawa tongkat adalah tanda kemuliaan adalah salah. Mengekalkan tongkat kerana kemuliaan bagi diri tidak berasas.

"Sebaliknya yang berdiri tegak dalam menghadapi serta mengatasi cabaran – mereka inilah orang yang mulia.

"Kita jangan tipu diri. Memanggil diri kita Tuan tidak menjadikan kita Tuan jika kita masih menjadi kuli orang," katanya katanya dalam ucapan dasar Pengerusi Bersatu di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) pada Sabtu.

Pada 13 Jan 2017, bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak menerusi blognya berkata rakyat perlu menjadi proaktif dan bekerja keras untuk menambah pendapatan mereka.

Kata Najib, rakyat tidak harus bergantung kepada kerajaan semata-mata jika mahu negara terus bergerak ke hadapan.

Lebih 1,600 perwakilan Bersatu seluruh negara mula berkampung di PICC sejak Jumaat sempena Perhimpunan Agung Tahunan parti itu.

Mengulas lanjut, Dr Mahathir menyeru ahli Bersatu meneruskan perjuangan bagi memastikan orang Melayu mampu bersaing dan berdaya tahan tanpa memerlukan bantuan.

“Kita berpolitik untuk menyelamat dan membebaskan kita melalui kejayaan sebagai satu bangsa yang mampu bersaing dengan siapa sahaja, tiap seorang dari kita berdaya tahan sendiri tanpa bertongkat.

“Untuk perjuangan yang mulia ini, berkorbanlah apa sahaja. Hasil pengorbanan kita akan dihargai oleh anak cucu kita.

"Akan berkatalah mereka, jika tidak kerana pengorbanan oleh kita, maka akan tertinggallah mereka di pinggir hutan, miskin papa di tanahair mereka," tambahnya.