Kuota calon wanita Pakatan Harapan (PH) untuk Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) hanya boleh tercapai jika wanita diberi peluang seluas-luasnya untuk menyertai dan bertanding di pentas politik.

Ini maklum balas Penolong Setiausaha Kebangsaan Wanita DAP, Young Syefura Othman apabila diminta mengulas berhubung kemungkinan PH gagal mencapai 30 peratus kuota untuk calon wanita.

"Kurang penglibatan wanita dalam barisan hadapan politik mungkin sebab utama kita (PH) tidak akan capai matlamat 30 peratus calon wanita.

"Namun, jika kita tidak beri peluang kepada wanita untuk menjadi calon, kita juga seakan-akan menutup ruang dan peluang untuk mengajak lebih ramai wanita untuk ke barisan hadapan politik negara.

"Apabila kita beri peluang kepada seorang wanita untuk bertanding, sekurang-kurangnya ia akan membuka mata dan cita-cita untuk dua lagi wanita untuk berada di barisan hadapan politik negara pada masa hadapan," katanya.

Tambah beliau, jika ini berlaku, sudah pasti lebih ramai wanita akan melibatkan diri dalam politik kerana mereka tahu memang ada ruang dan peluang untuk mereka dalam politik.

"Bagaimanapun, saya tidak boleh memberi ulasan lanjut kerana PH masih belum mengumumkan semua calonnya," katanya.

Young Syefura berkata demikian susulan kenyataan dari Ketua Wanita PH, Zuraida Kamaruddin bahawa gabungan parti tersebut masih tidak mempunyai senarai akhir bilangan calon wanita yang bakal bertanding dalam PRU14.

Ini kerana menurut beliau, senarai tersebut masih lagi belum dimuktamadkan

"Walaupun kami telah mencadangkan ramai calon wanita, kesal untuk saya kongsikan bahawa ada kemungkinan kuota 30 peratus calon wanita mungkin tidak dapat dicapai," kata Zuraida seperti yang dipetik daripada laporan media.

Apabila ditanya mengapa sasaran kuota mungkin tidak dapat dicapai, Zuraida menjawab ini kerana kekurangan penglibatan wanita dalam politik secara amnya.

"Kita dalam proses melatih lebih ramai wanita untuk menjadi pemimpin yang efektif dan usaha tersebut sedang dijalankan secara berterusan," katanya.