Sebuah video tular di media sosial semalam mendakwa seorang wakil rakyat yang mewakili sebuah parti politik kononnya meminta seorang pendatang asing untuk mengundi mereka.

Video yang tular menampakkan seorang lelaki sedang berkomunikasi dengan seorang lelaki yang didakwa sebagai warga asing.

Namun video yang tersebar itu adalah bukanlah seperti yang didakwa oleh pihak yang menularkan kandungan tersebut.

Ia adalah berita palsu!

Apa yang berlaku sebenarnya ialah lelaki yang didakwa sebagai warga asing itu merupakan warga tempatan yang mengalami kerugian besar selepas kedai motosikalnya terbakar di Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini.

Susulan kejadian itu, wakil daripada parti itu telah menyumbang dana bernilai RM3,000 kepada pemilik kedai tersebut dengan harapan untuk mengurangkan bebannya.

Namunpemilik kedai tersebut kemudian dituduh sebagai seorang warga asing dan didakwa menerima duit sebagai imbuhan untuk mengundi parti itu.

Berita tersebut adalah palsu dan ini telah disahkan oleh pegawai khas wakil parti itu ketika dihubungi Astro AWANI.

Beliau berkata, “Pemilik kedai itu merupakan penduduk, pengundi di kawasan tersebut.”

“Ia bukan seperti yang dituduh, bahawa beliau merupakan seorang warga Bangladesh. Kami berniat untuk menolong dan hal itu telah diputar belit oleh netizen.”

Video yang mendakwa bahawa wakil parti itu memberi duit untuk mendapat undian warga asing adalah tidak benar dan ia hanya merupakan satu sumbangan sebagai pertolongan kepada seorang yang ditimpa musibah, katanya lagi.