Pendedahan Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa Tun Dr Mahathir Mohamad berkeras masih mahu jawatan Perdana Menteri kali ketiga amat memalukan.

Pengerusi Yayasan Pendidikan Cheras, Datuk Seri Syed Ali Al-Habshee menegaskan, sebagai negarawan dan pernah menjadi Perdana Menteri 22 tahun 22 bulan, amat tidak wajar bagi Dr Mahathir berbuat demikian.

"Saya turut berasa malu apabila Anwar mendedahkan Dr Mahathir masih berkeras mahukan jawatan Perdana Menteri sedangkan gabungan Pakatan Harapan (PH) telah menolaknya.

"Memalukan kerana sikap bekas Perdana Menteri itu akan menimbulkan pertanyaan umum kenapa dan mengapa Dr Mahathir masih bermati-matian mahukan jawatan tersebut.

"Saya juga berasa hairan bagaimana Anwar sanggup mendedahkan kepada umum bahawa mesyuarat PH telah menolak kehendak Dr Mahathir dan sikap beliau yang masih berkeras mahukan jawatan Perdana Menteri," katanya dalam catatan terbaharu di laman Facebooknya pada Isnin.

Jelas Syed Ali, situasi ini menggambarkan betapa Dr Mahathir sudah tidak lagi dihormati dan tidak diperlukan oleh sekutunya dalam gabungan PH walaupun blok pembangkang cuba berselindung kononnya Ahli Parlimen Langkawi itu masih relevan untuk menarik sokongan rakyat menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

"Sebelum ini, saya telah menulis bahawa tidak mungkin Anwar akan tertipu untuk kali ketiga dengan permainan Dr Mahathir dan hari ini terbukti PKR dan PH khususnya mengambil ketetapan menolak Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri ke-9. Ternyata telahan saya sebelum ini adalah benar.

"Dengan perkembangan ini, saya dengan ikhlas menasihatkan Dr Mahathir supaya bersara daripada arena politik daripada berterusan dipersenda dan dimalukan oleh sekutu beliau dalam PH.

"Pada hemat saya, sekarang ini adalah masa yang amat sesuai untuk Dr Mahathir bersara daripada politik dan sudah pastinya beliau kekal dihormati sebagai seorang negarawan. Lagipun faktor usia telah membataskan kehendak nafsu politiknya," ujarnya.

Soalnya, jika Anwar dan PH sendiri sudah tidak mahu lagi kepada Dr Mahathir untuk diangkat sebagai bakal Perdana Menteri, apa lagi yang boleh dibuat olehnya?

Nasihat Syed Ali, eloklah Dr Mahathir berehat dan menyokong pentadbiran Tan Sri Muhyiddin Yassin selaku Perdana Menteri.

Beberapa portal berita sebelum ini mendedahkan Anwar dilaporkan berkata, sebelum timbulnya pertikaian mengenai calon Perdana Menteri, mesyuarat PH yang melibatkan parti komponen gabungan itu jelas bersetuju untuk mencalonkannya ke jawatan itu.

Bagaimanapun Anwar berkata, Mahathir tidak bersetuju kerana mahu menjadi Perdana Menteri buat kali ketiga.

Anwar turut mendedahkan pelbagai hujah dikemukakan dalam mesyuarat itu untuk tidak menyokong cadangan Mahathir sebagai calon Perdana Menteri gabungan itu sekali lagi.