Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) diramal bakal menggantikan parti keramat Melayu, UMNO satu hari nanti dan dijangka menjadi ikon parti politik baharu dengan menampilkan kepimpinan lebih unggul, bersih dan amanah.

Pensyarah Kanan Universiti Malaysia Sarawak (Unimas), Prof Madya Dr Jeniri Amir berkata, tidak mustahil parti komponen Pakatan Harapan (Harapan) itu menjadi pengganti kepada UMNO kerana ruang ke arah itu lebih terbuka.

Bagaimanapun, katanya, perkara itu hanya dapat dicapai sekiranya Bersatu bergerak atas landasan yang betul dari segi undang-undang dan mengutamakan kepentingan rakyat keseluruhannya.

“Bersatu lebih didominasi Melayu berbanding PKR dan DAP yang membuka ruang penyertaan ahli kepada pelbagai kaum. Bukan sesuatu yang mengejutkan apatah lagi dengan kemenangan dalam PRU14 lalu, Bersatu sudah pasti memperoleh semangat lebih tinggi lagi.

“Dengan kepimpinan tertinggi lebih terarah kepada kerajaan, keupayaan Bersatu jadi parti dihormati dapat dicapai asalkan mereka boleh elak daripada terjebak dalam kelemahan serta isu yang membelit UMNO sebelum ini,” katanya.

Jeniri berkata, Bersatu harus berupaya menjadi pengganti UMNO dan mampu memperkenalkan dasar-dasar yang menguntungkan rakyat dan negara secara keseluruhannya.

“Parti ini juga akan mempunyai besi berani yang dapat menarik penyertaan rakyat dan ahli baharu dalam kalangan generasi muda.

“Maka tidak ada alasan Bersatu tidak diterima oleh rakyat,” katanya.

Sebelum ini pada 5 April lalu Bersatu dibubarkan sementara oleh Pendaftar Pertubuhan Malaysia (RoS) berdasarkan notis mengikut Seksyen 14(5) Akta Pertubuhan 1966.

Kelulusan parti itu kemudian diperoleh selepas notis pembubaran sementara Bersatu dibatalkan 16 Mei lalu.

Terdahulu Jeniri berkata, sukar untuk UMNO bangkit atau kembali kepada kedudukan asal kerana rakyat kini hilang keyakinan terhadap parti yang menjerumuskan negara dalam pelbagai isu serta kegagalan mengurus kewangan negara.

“UMNO kini menjadi parti yang sudah terbungkam dan tidak bermaya lagi.

“Majoriti rakyat sudah hilang kepercayaan dan bukan sesuatu yang mengejutkan mereka akan kalah lebih teruk lagi dalam pilihan raya akan datang. Lebih teruk UMNO kini berada di pihak pembangkang yang terhad dari segi keupayaan sumber dan sebagainya,” katanya.