“Dua perkataan, jangan mimpi.”

Itu reaksi Ketua Penerangan UMNO, Shahril Hamdan mengulas kenyataan Ketua Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor yang berkata parti itu sedia untuk berentap di 45 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada pilihan raya negeri (PRN) kali ini.

Tegas Shahril, jika Bersatu mahu bersahabat dengan UMNO maka sebarang keputusan perlu melalui meja rundingan.

“Kalau nak bersahabat dengan UMNO, buat cara bersahabat. Kita boleh berbincang. Kita boleh berunding. UMNO Sabah punyai autonomi menentukan hal calon dan kerusi yang ditandingi.

“Tetapi kalau sebelum berunding pun PPBM (Bersatu) sudah ghairah mengiklan hasrat bertanding 45 daripada 73 kerusi, itu bukan langkah berlandaskan kebijaksanaan atau keikhlasan,” katanya dalam satu kenyataan media pada Sabtu.

Tambahnya, sudah tentu UMNO ada rancangan dalam menjayakan agenda rakyat Sabah namun cita-cita itu perlu disulami kebijaksanaan dengan menghormati proses perundingan.

“Saya yakin Datuk Seri Bung Moktar Radin dan pasukan UMNO Sabah bijak mengurus landskap terbaharu ini.

“Keutamaan pertama adalah memperkasa agenda rakyat di Sabah di samping memperjuang maruah UMNO Sabah yang terus diangkat berasaskan kesetiaan pemimpin dan ahlinya yang setia ketika ramai lain memilih jalan mudah dahulu,” ujarnya.

Dalam kenyataan sama, Shahril turut menyampaikan pesanan buat Bersatu Sabah agar berfikir dahulu sebelum mengeluarkan sebarang kenyataan.

“Dalam senario politik mutakhir, berfikirlah dahulu sebelum mengeluarkan kenyataan atau bertindak kerana setiap tindakan itu akan memberi kesan sampai ke akar umbi dan tidak terhad di Sabah sahaja,” katanya.

Astro AWANI pada Sabtu melaporkan kenyataan Hajiji yang berkata Bersatu Sabah sedia bertanding dalam 45 kerusi DUN pada PRN kali ini dan telah mengenal pasti kesemua kawasan DUN berkenaan.

Menurutnya, Bersatu Sabah bersedia berbincang dengan parti-parti dalam komponen Perikatan Nasional (PN), UMNO dan Barisan Nasional (BN) bagi menghadapi PRN Sabah, demi mengumpul kekuatan untuk memastikan kemenangan dalam pilihan raya akan datang.

Hajiji berkata, Bersatu Sabah juga akan menawarkan manifesto dan hala tuju terbaik untuk rakyat Sabah, yang antara lain memberi fokus kepada membangun semula ekonomi negeri setelah berhadapan krisis dan pandemik COVID-19.