Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim berharap isu Parti Peribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) untuk bertapak ke Sabah melalui proses rundingan dengan Parti Warisan Sabah (Warisan).

Jelasnya, ia bagi mewujudkan persefahaman antara parti memandangkan kedua-duanya mempunyai hubungan yang baik.

"Oleh kerana hubungan kita dengan parti Warisan baik, jadi perlu kita runding dan ada kesefahaman. Ini cara parti kita. Walau Bersatu sudah buat kenyataan tetapi baiknya jika dirundingkan terus supaya jangan ada ketegangan dalam parti," katanya semasa ditemui media selepas Syarahan Darul Ehsan di Universiti Selangor (UNISEL) di sini pada Isnin.

Pada satu sidang media pada Jumaat, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mengumumkan akan mula bertapak di Sabah tidak lama lagi.

Bagaimanapun beliau menafikan tujuan menubuhkan parti Bersatu di Sabah adalah untuk memberi saingan kepada parti Warisan.