Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Tun Dr Mahathir Mohamad berkata partinya akan memberi sepenuh sokongan kepada kerajaan negeri Sabah yang dipimpin Parti Warisan Sabah. (Warisan)

Dr Mahathir menegaskan kehadiran Bersatu di Sabah bukan bertujuan untuk menjatuhkan kerajaan sedia ada dan tidak berhasrat merebut mana-mana jawatan.

"Kita ingin jelaskan apabila kita pergi ke Sabah tujuannya ialah untuk mengadakan parti Bersatu di Sabah dan parti Bersatu ini bukan bertujuan untuk menjatuhkan kerajaan sedia ada (di sana),sebaliknya kita akan sokong sepenuhnya kerajaan Warisan," katanya selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu pada Rabu.

Perdana Menteri turut mengakui menjelang majlis pelancaran parti itu di Sabah Sabtu ini, ada cubaan pihak tertentu mengambil kesempatan melaga-lagakan Bersatu dan Warisan.

BACA: Bersatu akan dilancarkan di Sabah 6 April

"Ada pihak-pihak yang mungkin tidak setuju dengan parti Warisan yang akan cuba mempengaruhi keadaan parti Bersatu untuk diperalatkan bagi menentang kerajaan Warisan," katanya.

Dr Mahathir, bagaimanapun, berkata pihak berkenaan tidak akan diambil menjadi anggota Bersatu.

"Mereka itu tak payahlah nak suruh masuk jadi ahli Bersatu kerana parti Bersatu ini berpendirian untuk sokong kerajaan Warisan di Sabah, kita beri pengakuan tentang perkara ini," katanya.

Dalam pada itu, Dr Mahathir memakluman Bersatu akan mengadakan mesyuarat agung luar biasa (EGM) pada Mei dan pemilihan pimpinan parti itu juga akan diadakan pada tahun ini.

Sementara itu, Dr Mahathir menegaskan sekali lagi Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan mengambil alih jawatan perdana menteri selepas beliau berundur.

Pada sidang media itu juga Dr Mahathir sekali lagi menegaskan bahawa Datuk Seri Anwar Ibrahim akan menggantikan beliau sebagai perdana menteri.

Kenyataan itu dibuat susulan Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki yang mendakwa Dr Mahathir tidak mahu Anwar menggantikannya sebagai perdana menteri.

"Dia ada hak untuk buat pendapat dia, tetapi saya dah buat kenyataan bahawa apabila saya berhenti, maka Anwar akan ambil alih," katanya.