Tutup
announcement
NOTIS
Beralih ke pengalaman baharu laman web Astro AWANI. Klik di sini!

Bersatu sudah keluar PH - Mohd Radzi

Bersatu sudah keluar PH - Mohd Radzi
Mohd Radzi berkata Bersatu telah membuat keputusan yang jelas untuk keluar PH dan membentuk sebuah gabungan politik baharu. - Bernama
KUALA LUMPUR: Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Dr Mohd Radzi Md Jidin hari ini menangkis dakwaan Datuk Marzuki Yahya yang mendakwa Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) parti itu tidak membuat keputusan meninggalkan gabungan Pakatan Harapan (PH).

Sambil menyatakan Marzuki bukan lagi Setiausaha Agung Bersatu, Mohd Radzi sebaliknya menjelaskan bahawa MPT Bersatu dalam mesyuaratnya pada 23 Feb telah membuat keputusan yang jelas untuk keluar PH dan membentuk sebuah gabungan politik baharu dengan parti-parti lain di luar PH.
"Justeru, dakwaan YB Senator Datuk Wira Haji Marzuki bahawa MPT tidak pernah membuat keputusan ini adalah tidak benar sama sekali.

"Malah keputusan ini bukanlah dibuat secara tergesa-gesa. Ia telah dibincang di pelbagai peringkat pimpinan parti beberapa bulan sebelumnya dan dimuktamadkan dalam mesyuarat Biro Politik BERSATU pada 21 Februari dan mesyuarat MPT BERSATU pada 23 Februari," katanya dalam satu kenyataan.
Mohd Radzi berkata perancangan untuk membawa Bersatu keluar dari PH dan membentuk sebuah gabungan politik baharu diketahui dan disokong oleh Pengerusi Bersatu Tun Dr Mahathir Mohamad sendiri.

Namun katanya, hanya di saat-saat akhir perancangan ini sepatutnya dilaksanakan, Dr Mahathir mempunyai pendirian yang berbeza dengan pendirian parti.

"Sebagaimana diketahui umum, YABhg Tun (Dr Mahathir) sentiasa didesak oleh pimpinan PH terutamanya dari PKR dan DAP supaya beliau meletakkan jawatan Perdana Menteri.

Beliau dan pimpinan Bersatu yang lain serta ahli-ahli parti tidak selesa dengan desakan ini. Kerana itu, ramai yang berpandangan tiada lagi kesepakatan dalam PH," katanya.

Radzi juga berkata pada 24 Feb, Dr Mahathir telah mengumumkan peletakan jawatan sebagai Perdana Menteri dan Pengerusi Bersatu dengan alasan beliau tidak lagi mendapat sokongan ahli-ahli MPT.

Sehubungan itu katanya, menurut Fasal 16.9 Perlembagaan Bersatu, apabila Pengerusi berhenti maka Presiden, Tan Sri Muhyiddin Yassin memangku jawatan Pengerusi.

"Sebagai Presiden dan pemangku Pengerusi BERSATU, YAB Tan Sri Dato' Haji Muhyiddin bin Hj Mohd Yassin pada hari yang sama telah membuat pengumuman BERSATU keluar dari PH sebagaimana yang telah diputuskan oleh MPT BERSATU dalam mesyuarat sehari sebelumnya.

"Hakikat bahawa BERSATU telah keluar dari PH juga diakui oleh YABhg Tun sendiri dalam perutusan khas beliau pada 26 Februari beliau menyebut "Saya minta diberi masa. Tetapi parti saya BERSATU telah memutuskan untuk keluar dari Pakatan Harapan" (Rujuk perenggan 10, Perutusan Khas YAB Tun Dr Mahathir Bin Mohamad, Perdana Menteri Malaysia Pada 26 Februari 2020)," jelasnya.

Justeru beliau mengulangi bahawa dakwaan yang mengatakan MPT Bersatu tidak pernah membuat keputusan keluar dari PH adalah tidak benar sama sekali dan tidak disokong oleh fakta.

Dua hari lalu, Marzuki yang mendakwa dirinya masih Setiausaha Agung Bersatu dilaporkan berkata MPT Bersatu tidak membuat keputusan meninggalkan gabungan PH.

Marzuki berkata mesyuarat MPT pada 23 dan 24 Feb lalu, membuat dua keputusan iaitu menolak peletakan jawatan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai Pengerusi parti serta calon tunggal bagi jawatan Perdana Menteri.

Pada 26 Mac lepas, Muhyiddin mengumumkan pelantikan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainuddin sebagai Setiausaha Agung Bersatu berkuat kuasa 18 Mac lalu, menggantikan Marzuki yang dipecat daripada jawatan itu.

-- BERNAMA


Tag: Mohd Radzi Md Jidin, Pakatan Harapan, politik, Mahathir Mohamad, PPBM, PH, Bersatu



Komen Anda?

* Klik pada "Sort by" untuk kemaskini komen

PENAFIAN:
Astro AWANI tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Terima kasih.