PAS mengalu-alukan jika terdapat wakil rakyatnya yang berhasrat melompat parti dan menyertai parti politik lain.

Naib Presidennya, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata, PAS tidak mahu ada pimpinan dan ahlinya yang berada dalam parti dan bersikap seperti “musang berbulu ayam” dengan merosakkan parti dari dalam.

"Yang nak melompat, biar melompat. Kita tak boleh halang. Pandangan saya secara peribadi, dari duduk dalam merosakkan parti, lebih baik keluar.

"(Dengan itu) Parti lebih stabil dan parti senang nak buat keputusan, dibandingkan jika dia duduk dalam dan jadi 'harum manis.'



"Mahfuz lama dah saya bagitahu, lebih baik dia keluar dari PAS," katanya merujuk kepada Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar.

Mohd Amar berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui selepas mesyuarat mingguan Exco Kerajaan Negeri Kelantan hari ini.

Ketika ditanya kedudukan bekas naib presiden PAS itu yang dilihat tidak seiringan dengan pimpinan dan parti, beliau menjelaskan, Mahfuz sudah lama dinasihatkan supaya meninggalkan parti.

Akhir-akhir ini, timbul spekulasi mengenai beberapa wakil rakyat PAS yang dikatakan berhasrat meninggalkan parti.

Mereka yang juga antara tonggak utama parti itu dikatakan lebih mesra dengan Pakatan Harapan.

Kelibat Mahfuz bersama dua Ahli Dewan Undangan (Adun) PAS, Datuk Amiruddin Hamzah (Anak Bukit) dan Mohd Nasir Mustafa (Kubang Rotan) semakin menonjol apabila mula menghiasi pentas ceramah Pakatan.

Walaupun Mahfuz terlebih dahulu mengorak langkah dengan menerajui aktiviti Gerakan Selamatkan Malaysia (GSM) sejak 2016, namun beliau tetap mengisytiharkan dirinya sebagai ahli PAS.

Manakala Amiruddin dan Mohd Nasir dilihat seakan ‘mengacah’ dan dengan secara perlahan merapatkan ukhwah bersama pimpinan Pakatan.

Telahan ini makin dikuatkan dengan ketidakhadiran mereka pada program anjuran PAS, yang turut disertai pimpinan pusat, termasuk Presiden Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Malah pada muktamar tahunan PAS yang diadakan di Kompleks PAS Kedah, April lalu, ketiga-tiganya tidak hadir.