Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu mengingatkan ahli-ahlinya supaya tidak menubuhkan parti baru biarpun berlaku perbezaan pandangan di dalam parti.

Mohamad berkata ahli-ahli PAS perlu terus mempertahankan parti itu dan terus bekerjasama dengan Pakatan Rakyat.

"Beza pandangan macam mana pun jangan tubuh parti politik lain atas nama Islam.

"NGO tak apa...tubuhlah mana-mana NGO untuk bersama Pakatan Rakyat.

"Parti Islam ini perlu terus dijaga dan dipertahankan," katanya ketika merasmikan Muktamar Pemuda PAS Malaysia ke 55 di Dewan Chon Moi, di sini, hari ini.

Mohamad berkata sekiranya lebih banyak parti politik berteraskan Islam ditubuhkan kerana ia hanya akan merugikan perjuangan parti itu bersama Pakatan Rakyat.

"Sebab kalau ada parti Islam lain, kita lihat rakan kita di Indonesia (tidak persefahaman). Ada banyak parti-parti Islam, tetapi nak hantar calon presiden pun tidak berupaya.

"Bukan kita menolak mereka...tidak. Tapi supaya ia dijadikan pengajaran kepada kita di sini," katanya.

Katanya, ahli PAS tidak perlu meragui perjuangan parti itu terutamanya mengenai khabar angin bahawa kemungkinan wujud kerjasama parti itu dengan UMNO.

"UMNO tetap musuh, jangan cuba kenyit mata dengan kami. Jangan cuba hulurkan tangan, kami akan tampar kamu itu.

"Yang bersama NGO, pimpinlah, beri pandangan dan tegurlah kami. Jangan sampai merugikan saf PAS dan Pakatan Rakyat," katanya.

Teguran Mohamad itu merujuk kepada ura-ura penubuhan sebuah parti baru untuk menggantikan PAS dalam Pakatan Rakyat.

Badan bukan kerajaan (NGO) Persatuan Ummah Sejahtera Malaysia (PasMa) yang baru diluluskan pendaftaran dikatakan akan dijadikan sebuah parti baru menggantikan PAS.

PasMa juga didakwa dianggotai kumpulan dalam PAS yang pro Pakatan Rakyat dan tidak sependapat dengan pimpinan Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.