Calon BN Dun Sungai, Datuk Lokman Noor Adam akui gembira apabila nama-nama besar seperti Datuk Seri Anwar Ibrahim turun ke Dun Sungai Kandis untuk berkempen bagi calon lawannya.

Menurut Lokman, ini menunjukkan tanda-tanda positif bahawa lawannya tidak yakin dapat mempertahankan kerusi tradisi PKR itu.

“Saya gembira (Anwar turun berkempen) kerana ini tanda-tanda positif bahawa mereka tidak yakin boleh menang.

“Ini sebuah Dun yang kecil. Tidak sepatutnya nama-nama besar seperti Tun Mahathir, Datuk Seri Anwar akan turun.

"Tapi percayalah cakap saya, Tun Mahathir tidak akan datang kerana tindakan itu akan memalukan dirinya sendiri,” katanya kepada pemberita di Pejabat UMNO Bahagian Kota Raja, hari ini.

Anwar dijadualkan berkempen di Dun Sungai Kandis hari ini, Khamis dan Jumaat bagi membantu calon PKR, Mohd Zawawi Ahmad Mughni.

Dalam pada itu, Lokman berharap sokongan ahli Pas terhadapnya akan membantu menurunkan majoriti undi PKR.

“Alhamdulillah ini (Zawawi yakin dapat majoriti 10,000 undi) bukti bahawa kita telah meningkatkan majoriti kita. Sebab dulu mereka menang 12,450 undi jadi kalau hari ini beliau sudah sahkan majoritinya 10,000 saya ucap Alhamdulillah.

“Saya berdoa dengan sokongan teman-teman daripada Pas lebih banyaklah majoriti yang akan turun,” katanya.

Beliau juga tidak menolak Zawawi akan mendapat undi daripada ahli Pas terutama yang bersaudara dengannya.

“Sudah pasti ada dalam kalangan ahli-ahli Pas yang bersaudara dengan beliau akan mengundi beliau. Tapi jangan lupa, ada juga orang PKR yang akan undi saya. Ada juga rakan-rakan yang kecewa dengan calon mereka yang tidak dapat bertanding mereka juga akan saya.

“Ramai juga kenalan-kenalan lama dalam PKR yang tahu perjuangan saya mereka juga akan undi saya.

"Ramai juga penyokong-penyokong PKR yang yakin dengan Tun Mahathir akan membawa perubahan kepada negara ini, mereka juga akan mengundi saya selepas melihat prestasi PH selama 84 hari ini,” katanya.