Tutup

Bimbang diharamkan, PPBM akur arahan RoS

Bimbang diharamkan, PPBM akur arahan RoS
PPBM juga memaklumkan telah memberi keterangan kepada RoS berhubung beberapa aduan terhadap parti itu.
KUALA LUMPUR: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) akhirnya akur dengan arahan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) untuk tidak menggunakan nama Armada bagi sayap pemudanya.

Semua pemimpin dah ahli parti itu diarahkan supaya menggunakan nama Pemuda PPBM sepertimana yang termaktub dalam perlembagaan parti sebelum ini.

PPBM telah membuat pindaan perlembagaan partinya bagi membolehkan nama Pemuda PPBM ditukar kepada Angkatan Muda Bersatu Malaysia atau ringkasannya Armada.

“Oleh kerana pindaan perlembagaan PPBM (BERSATU) masih dalam pertimbangan pihak RoS, PPBM akur bahawa nama Pemuda PPBM yang termaktub dalam perlembagaan parti hendaklah digunapakai buat masa ini.
“Arahan telah dikeluarkan kepada pimpinan dan ahli parti di setiap peringkat supaya menggunakan nama Pemuda PPBM sehingga pindaan perlembagaan parti diluluskan oleh pihak RoS,” kata Setiausaha Agung PPBM Datuk Dr Shahruddin Md Salleh dalam satu kenyataan hari ini.

Baru-baru ini, RoS telah memberi amaran kepada PPBM bahawa parti itu boleh diharamkan jika terus menggunakan nama Armada untuk sayap pemuda parti berkenaan.
Alasan yang diberikan ialah istilah Armada yang digunakan PPBM tidak pernah diluluskan dalam perlembagaan parti itu.

Dalam pada itu, PPBM memaklumkan telah memberi keterangan kepada RoS berhubung beberapa aduan terhadap parti itu.

“Saya juga telah mendapatkan nasihat pakar undang-undang mengenai aduan-aduan tersebut dan percaya tiada pelanggaran terhadap perlembagaan parti dan undang-undang telah dibuat oleh PPBM dalam perjalanan pengurusan dan pentadbiran parti seperti yang didakwa oleh beberapa pihak," jelas Shahruddin lagi.

PPBM juga telah memohon lanjutan masa ke tahun depan untuk mengadakan mesyuarat agung tahunan memandangkan parti itu masih dalam proses menubuhkan cawangan di seluruh negara.

Penangguhan itu, katanya, telah diputuskan dalam mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi PPBM pada 26 Julai lalu.

“Menurut perlembagaan PPBM, perwakilan yang menghadiri persidangan di peringkat bahagian mestilah terdiri daripada wakil-wakil cawangan dalam bahagian tersebut.

“Justeru, berdasarkan Perlembagaan PPBM, persidangan pahagian tidak boleh diadakan sehinggalah penubuhan cawangan-cawangan disempurnakan dan didaftarkan dengan RoS,” katanya.