Tindakan DAP yang terus menyerang PAS dalam isu hudud sehingga terlajak pula kepada menyerang Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengecewakan Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz.

“Saya hairan bagaimana DAP boleh hidup menyerang PAS dengan menipu rakyat Malaysia? Selama manakah politik begini boleh bertahan? Saya khuatir, lama-lama rakyat bukan Muslim (Islam) sendiri akan naik jengkel dengan cara DAP,” ujarnya.

Menurutnya, DAP harus sedar bahawa PAS konsisten mendekati dan menarik sokongan bukan Islam tanpa perlu menyerang DAP.

“Mengapa DAP tidak boleh melakukan perkara yang sama?” katanya melalui sebuah kenyataan rasmi hari ini.

Dalam pada itu, Nik Mohamad Abduh turut menyatakan bahawa terdapat ‘usaha berterusan daripada musuh Pakatan Rakyat untuk melabelkan DAP sebagai anti Islam.’

“DAP kena lebih menjaga dirinya daripada masuk ke dalam perangkap musuh. Terlalu kerap mengkritik hak Kelantan laksanakan hukum hudud akan membina persepsi buruk yang menguntungkan pihak musuh Pakatan Rakyat itu,” ujarnya.

Tambah Nik Mohamad Abduh, tindakan DAP memperkecilkan Abdul Hadi disifatkan sebagai tindakan yang tidak membantu DAP pada perspektif umat Islam dan jika itu berlanjutan untuk masa akan datang, usaha melabel DAP sebagai anti-Islam akan menjadi kenyataan yang tidak tersangkal lagi.

“Saya yakin, dengan konsisten PAS melalui lunas-lunas demokrasi membawa dan memperkenalkan Kanun Jenayah Syariah ke persada politik negara, ia sama sekali tidak akan menjadikan PAS dilabel sebagai anti bukan Muslim,” katanya.

Ahli Parlimen Pasir Ma situ juga berkata, pembinaan politik baharu Malaysia yang diimpikan pembangkang dan majoriti rakyat Malaysia hendaklah digerakkan di atas landasan politik yang damai dan benar.

"Politik damai adalah pembentukan suasana harmoni yang membolehkan rakyat Malaysia berfikir secara aman dan penuh minat tanpa provokasi melampau yang mengganggu kewarasan berfikir.

"Manakala, politik benar pula bererti penyampaian fakta-fakta untuk rakyat tanpa penipuan dan pemalsuan yang akan merosakkan masa depan rakyat yang akan membuat keputusan dan pilihan," katanya.

Nik Mohamad Abduh yang ditemui lebih awal di Parlimen hari ini menyifatkan keputusan DAP yang tidak mahu bekerjasama dengan Abdul Hadi sebagai tidak mempunyai asas memandangkan setiap tindakan atau kenyataan Abdul Hadi juga dianggap sebagai pendirian PAS.

“DAP tidak perlu membuat kenyataan yang berlapik dan lebih baik berterus terang tentang agenda mereka. Kenyataannya itu hanyalah untuk memberi tekanan untuk memaksa Abdul Hadi keluar daripada Pakatan Rakyat,” ujar Nik Mohamad Abduh ketika ditemui di lobi Parlimen.

Berkenaan masa depan dengan Pakatan Rakyat, Nik Mohamad Abduh menjelaskan bahawa PAS tidak akan meninggalkan gabungan berkenaan.

Pada masa yang sama, beliau mengegsa DAP agar tidak menjadikan isu hudud sebagai punca perpecahan Pakatan Rakyat.

“DAP sedang menipu rakyat untuk menolak PAS dengan dengan menggunakan isu hudud,” katanya yang sudah secara peribadi bertemu dengan kepimpinan DAP agar tidak menjadikan isu tersebut sebagai sebab perpecahan Pakatan Rakyat.

DAP hari ini melalui kenyataan media Setiausaha Agungnya, Lim Guan Eng menyatakan bahawa parti itu tidak lagi dapat bekerjasama dengan Abdul Hadi yang didakwa secara berterusan tidak berlaku jujur dalam tindakannya.

DAP turut menegaskan pihak mereka telah hilang kepercayaan serta keyakinan terhadap Abdul Hadi sebagai pemimpin dalam Pakatan Rakyat seterusnya mahu menamatkan semua hubungan selain berhenti bekerjasama dengan beliau.