Tutup

Biro Politik PKR terima keputusan JPP bagi tiga cabang bermasalah

Biro Politik PKR terima keputusan JPP bagi tiga cabang bermasalah
Fahmi dalam satu kenyataan berkata keputusan itu diambil dalam satu mesyuarat Biro Politik yang diadakan malam ini. - Gambar fail/Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Biro Politik PKR menerima keputusan Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) bagi cabang Julau di Sarawak, dan cabang Pensiangan serta Tawau di Sabah, kata Pengarah Komunikasinya Fahmi Fadzil.

Fahmi dalam satu kenyataan berkata keputusan itu diambil dalam satu mesyuarat Biro Politik yang diadakan malam ini.

"Biro Politik PKR telah bermesyuarat malam ini dan membincangkan beberapa isu termasuk isu Pemilihan PKR. Biro Politik PKR mengambil pendirian untuk menerima keputusan JPP bagi Cabang Julau, Pensiangan dan Tawau," katanya.

"Sehubungan itu, Kongres Nasional akan diteruskan pada 16 hingga 18 Nov seperti yang diumumkan sebelum ini," tambahnya.
Katanya pada masa yang sama, PKR akan memberi kerjasama penuh kepada mana-mana agensi penguatkuasa termasuk Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang membuat siasatan berkaitan pemilihan parti itu.

"Biro Politik PKR mengarahkan JPP untuk segera menyelesaikan isu undi ragu bagi cabang-cabang yang berkaitan, dengan memanggil wakil kedua-dua calon Timbalan Presiden untuk memerhati proses itu," katanya.

Berkaitan isu 'undi hilang' yang dibangkitkan calon Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Akmal Nasir dalam satu sidang media petang tadi, Fahmi berkata pihaknya mengarahkan syarikat 'Baker Tilly' yang mengesahkan integriti sistem pemilihan untuk menyiasat dan memberikan maklum balas pada kadar segera.
Tambahnya, parti juga akan mengumumkan pelantikan sebuah syarikat pengauditan dalam masa terdekat untuk melakukan audit bebas terhadap keseluruhan proses pemilihan.

Keputusan pemilihan PKR di cabang Julau tergantung sebelum ini selepas 10 unit tablet untuk sistem e-undi yang digunakan bagi pemilihan cabang itu dikatakan telah dipasang dengan perisian "Prey Anti-Theft" yang menyebabkan sistem gagal berfungsi.

Bagaimanapun, JPP membuat keputusan proses pemilihan itu tidak perlu diadakan semula kerana perincian undi yang direkodkan dan analisis teknikal menunjukkan tiada undi yang tercicir dan keputusan pengundian boleh diterima pakai.

Cabang Pensiangan dan Tawau pula mengadakan proses pemilihan semula baru-baru ini, selepas keputusan pemilihan pada 3 dan 4 Nov lepas ditangguhkan.

-- BERNAMA