Ketiadaan calon Barisan Nasional (BN) Datuk Amar Jamilah Anu dalam kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjong Datu merupakan pengalaman baharu buat para pengundi di sini.

Pengerusi Kelab Penyokong Barisan Nasional (BNBBC) Sarawak Abdullah Saidol berkata ketiadaan Jamilah yang masih dalam tempoh idah menimbulkan rasa ingin tahu khususnya dalam kalangan pengundi bukan Islam di beberapa kawasan luar bandar.

"Malah, ada sesetengah pengundi Islam turut menanyakan mengenai ketiadaan beliau. Sudah tentu mereka bertanya tanpa sebarang niat tidak baik, mereka hanya ingin tahu," katanya kepada Bernama ketika ditemui semasa lawatan singkat beliau ke pusat media yang ditubuhkan oleh Jabatan Penerangan untuk PRK itu.

Abdullah yang juga ketua setiausaha politik kepada ketua menteri berkata BN di sini tidak lama lagi akan mengeluarkan risalah mengandungi mesej peribadi daripada Jamilah untuk menjelaskan ketiadaan beliau.

"Ia akan dibuat dalam pelbagai dialek tempatan," katanya.

Secara keseluruhannya, majoriti pengundi memahami keadaan Jamilah dan jentera BN juga telah menjelaskan perkara itu kepada akar umbi.

"Malah, dalam kalangan Bumiputera bukan Islam dan penduduk tempatan di sini, seorang isteri tidak sepatutnya boleh dilihat secara sosial untuk tempoh tertentu berikutan kematian suami.

"Ini sebenarnya norma dan budaya yang diamalkan oleh setiap masyarakat," jelas Abdullah.

Sementara itu, beliau berkata jentera BN akan memperhebatkan kempen meskipun pendekatan yang dilakukan lebih kepada sentuhan peribadi yang mana mereka akan membuat lawatan ke atas penduduk.

"Kami mempunyai kesemua 48 anggota BNBBC iaitu wakil rakyat dilantik dan dibantu oleh setiausaha politik.

"Kami juga telah menggerakkan ramai anggota wanita dan belia daripada parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB)," katanya.

Beliau berkata mereka telah ditugaskan untuk ke setiap kampung di kesemua 15 daerah mengundi untuk berkempen dan mendapatkan maklum balas mengenai rungutan dan masalah rakyat.

"Mereka akan menyampaikan maklumat berkenaan kepada agensi dan jabatan berkaitan untuk penyelesaian, tidak kira berapa kecil isu itu," katanya.

Mengenai penggunaan aplikasi media sosial semasa kempen, beliau berkata ia digunakan untuk pengundi yang bekerja atau tinggal di luar Tanjong Datu.

"Tetapi keutamaan kami adalah lebih kepada lawatan kepada pengundi. Ini lebih berkesan dalam mendekati mereka," tambahnya.

PRK itu diadakan berikutan kematian penyandangnya yang juga Ketua Menteri Sarawak kelima, Tan Sri Adenan Satem pada 11 Jan lepas kerana komplikasi jantung.

Balunya, Jamilah, 61, dicalonkan oleh BN untuk mempertahankan kerusi itu dan dicabar oleh calon daripada Parti Reformasi Negeri (Star) dan Parti Bansa Dayak Sarawak (PBDS) Baru.

-- BERNAMA