Barisan Nasional (BN) hari ini membentangkan manifesto yang menggariskan 14 teras utama, bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14.

Pengerusinya, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, manifesto itu merupakan AkuJanji kepada rakyat yang akan dilaksanakan sepenuhnya sekiranya parti itu kembali mendapat mandat rakyat untuk memerintah semula negara ini.

“Saya janji, kita akan bangunkan negara dari Perlis Indera Kayangan, sampai ke Sarawak Bumi Kenyalang, membawa ke Sabah di Bawah Bayu,” katanya ketika membentangkan manifesto itu di hadapan kira-kira 40,000 penyokong dan ahli BN di Axiata Arena, Bukit Jalil, malam ini.

Antara teras yang digariskan ialah, memperkasa taraf golongan wanita dan ibu, merancakkan pertumbuhan kewangan rakyat dan negara, mewujudkan 3 juta peluang pekerjaan, meningkatkan gaji minima kepada RM1,500 dan mewujudkan infrastruktur pembangunan dan pengangkutan.

“Manifesto malam ini merupakan sebuah dokumen yang positif, sebuah dokumen yang mampu dilaksanakan, mampu siap, dan mampu memenuhi kehendak dan aspirasi rakyat.

"Kita yakin dan percaya, bagi tempoh, dalam tempoh lima tahun akan datang, kita akan bergerak ke hadapan, supaya tempat Malaysia di kalangan negara, akan dapat kita lonjakkan ke tahap lebih tinggi,” katanya.

Datuk Seri Najib berkata, rakyat perlu menilai kesemua manifesto yang dihidangkan, baik dari pihak Barisan Nasional, mahupun Pakatan Harapan dan Gagasan Sejahtera, serta memastikan mereka tidak membuat pilihan yang salah.

“Manifesto pembangkang adalah formula for disaster kerana, setakat ini, tidak ada satu pun rating agency yang memberi pengiktirafan mahupun pujian kepada pembangkang. Jangan kita menyesal, sudah terhantuk baru terngadah,” katanya.