Kerajaan pimpinan Barisan Nasional (BN) tidak pernah menentang cadangan untuk parti politik di negara ini mengisytihar jumlah dana politik mereka.

Malah, Setiausaha Agungnya Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata, BN bersedia untuk mengisytiharkannya pada bila-bila masa.

"Tentang dana politik, kami di pihak UMNO dan Barisan Nasional sudah bersetuju, pihak pembangkang yang menentang. Inilah masalahnya," kata Tengku Adnan.

Beliau ditemui selepas merasmikan Konvensyen Usahawan Online di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) pada Sabtu.

Jawatankuasa Konsultatif Nasional Mengenai Pembiayaan Politik (JKNMPP) dilapor telah mengemukakan 32 cadangan bagi menyelesaikan isu membabitkan dana politik.

Pengerusinya, Datuk Paul Low Seng Kuan berkata, cadangan itu termasuk mewujudkan pejabat pengawal sumbangan dan perbelanjaan politik.

JKNMPP ditubuhkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada 14 Ogos 2015 dan diberi tempoh 12 bulan untuk mencari kaedah dan pendekatan konstruktif bagi menyelesaikan isu-isu berkaitan pembiayaan politik yang sudah lama wujud dalam negara.