"Pemecatan saya tidak dilakukan dengan adil."

Itu dakwaan bekas Ketua Pergerakan Wanita UMNO Bahagian Gopeng Datuk Hamidah Osman yang turut menyifatkan dirinya 'kambing hitam' UMNO.

Jelasnya, Jawatankuasa Disiplin UMNO tidak pernah mengeluarkan sebarang surat yang memerlukannya tampil memberikan penjelasan.

"Saya mendapat surat Mei lalu meminta saya memberi penjelasan kerana saya didakwa membawa Tun Dr Mahathir.

"Sejak saya dipecat Selasa lalu, saya langsung tidak mendapat sebarang surat berkenaan penjelasan pemecatan saya. Jadi saya rasa ini tidak adil.

"Kalau mengikut prosedur, saya perlu dipanggil oleh Jawatankuasa Disiplin; saya perlu beri penjelasan, ini tidak," jelas Hamidah kepada pemberita di sini hari ini.

Justeru, beliau merasakan bahawa pemecatan ke atas dirinya oleh Jawatankuasa Disiplin parti tidak mengikut prosedur yang betul.

"Saya difahamkan Jawatankuasa Disiplin tidak membuat keputusan ini. Ia begitu kabur," kata Hamidah.

Ditanya apa langkahnya selepas ini, Hamidah berkata beliau tidak berdiam diri dan mempunyai perancangan dengan pergerakan yang lebih besar membabitkan keahlian UMNO di Perak.

"Pemecatan keahlian saya tidak bermakna berakhirnya perjuangan saya. Pemecatan ini juga bermakna saya terpaksa berjuang di pentas rakyat berbekalkan kudrat yang ada," katanya.

Selain itu, Hamidah turut memberi amaran kepada Presiden UMNO yang juga perdana menteri Datuk Seri Najib Tun Razak untuk tidak menggadaikan parti.

"Jangan bakar negara ini. Kalau kami (ahli UMNO) terbakar, kamu (Najib) juga akan terbakar," katanya dalam nada tegas.

Pada sidang media sama, lima pemimpin Pergerakan Wanita UMNO Bahagian Gopeng turut mengumumkan peletakan jawatan di dalam parti.

Mereka ialah Ketua Penerangan, Mazidah Kaulan; Bendahari Bahagian, Hasiah Sambang; Penolong Setiausaha Bahagian, Fatimah Abdul Rahman; serta Ahli Jawatankuasa Kalsom Abdul Hamid dan Fatimah Md Isa.

Kelima-lima mereka sebulat suara membuat keputusan tersebut susulan pemecatan Hamidah tempoh hari.

Pada Mei, Hamidah menganjurkan majlis Bicara Negara di Hotel Tower Regency di Ipoh, dengan menjemput Tun Dr Mahathir Mohamad berucap dan mempertikai Najib berhubung syarikat pelaburan kerajaan 1Malaysia Development Bhd (1MDB).

Bekas Perdana Menteri itu lantang menyuarakan ketidakpuasan hatinya mengenai kontroversi kerugian di dalam 1MDB dan berkata penggantinya tidak boleh dimaafkan susulan kehilangan RM42 bilion melalui pelaburan yang dilakukan.

Pada awal September, Hamidah dilapor Sinar Harian sebagai berkata: "Jangan beritahu saya yang tiga juta ahli perlu berkorban untuk seorang lelaki. Sepatutnya pemimpin yang berkorban demi tiga juta ahli parti."

Beliau juga mendesak Najib menerima hakikat apa yang berlaku kepada 1MDB telah menghakis kepercayaan rakyat terhadap UMNO.