Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad tidak mempunyai kuasa untuk menentukan siapa calon yang layak menjadi Perdana Menteri untuk negara ini.

Ketua Pemuda UMNO Bahagian Segamat, Bastien Onn berkata, Dr Mahathir harus sedar bahawa kekebalan Presiden UMNO dan Perdana Menteri sekarang merupakan sebahagian daripada legasi peninggalannya sendiri sepanjang tempoh 22 tahun pemerintahan.

"Persoalannya, adakah beliau akan menentukan calon pengganti Perdana Menteri sekali lagi. Ini kerana sepanjang tempoh 22 tahun pemerintahan, Tun M sendiri telah beberapa kali meminda perlembagaan parti dan menjadikannya seperti hari ini.

"Selain itu, jika disoroti kembali sejarah, Tun M adalah orang yang memilih Tun Abdullah selaku pengganti beliau. Tetapi selepas itu, beliau jugalah yang bertindak menekan Tun Abdullah untuk melepaskan jawatan sehingga keluar UMNO buat kali pertama.

"Kemudian, Datuk Seri Najib pula menjadi pilihan beliau. Sejarah sekali lagi berulang apabila beliau menggunakan gerakan yang hampir serupa dan menyatakan bahawa ia satu kesilapan beliau memilih pemimpin," katanya kepada Astro AWANI di sini hari ini.

Pada Isnin, Dr Mahathir mengumumkan keluar dari parti ini buat kali kedua setelah melakukan tindakan yang sama pada 19 Mei 2008 sebelum kembali semula ke pangkuan UMNO pada 4 April 2009.

Tindakan itu diambil kerana Dr Mahathir berpendapat UMNO kini bukan lagi seperti UMNO dahulu, sebaliknya ia hanyalah sebuah parti penyokong Presiden parti dan melindungi Presiden daripada sebarang kesalahan yang dilakukannya.

Jelasnya, sudah tiba masa ahli UMNO memilih sendiri kepimpinan parti mengikut kaedah sedia ada tanpa campur tangan figura-figura terdahulu.

"Biarlah ahli-ahli menjalankan tanggungjawab untuk memilih pemimpin bagi menentukan jatuh bangun masa depan parti dan negara.

"Kami percaya parti keramat UMNO dan kebijaksanaan ahli-ahlinya mampu mengatasi ketajaman pemikiran Tun M dalam memilih pemimpin. Perlu diperingati bahawa parti UMNO hari ini lebih demokratik berbanding semasa Tun M menjadi Presiden dahulu.

"Penentuan pucuk pimpinan parti tidak lagi terletak di tangan lebih kurang 2,700 perwakilan bahagian, tetapi terletak di tangan 146,000 perwakilan di peringkat akar umbi. Pindaan yang dibuat telah melebarkan demokrasi di dalam parti keramat ini," tegasnya.

Bastien turut percaya sistem itu akan mengangkat pemimpin tulen yang berkebolehan dan mampu berkhidmat untuk ahli UMNO sendiri.

"Selain itu, sistem demokrasi ini akan menguji kepercayaan ahli terhadap kepimpinan Najib sekiranya berlaku pertandingan dalam jawatan tertinggi parti semasa pemilihan. Biarlah ianya memberikan hasil yang boleh dibanggakan hasil jerih, usaha dan pilihan ahli UMNO dan pemimpin akar umbi.

"Kami berpendapat tempoh 22 tahun pemerintahan Tun M dan seterusnya disambung oleh pemimpin yang dipilih beliau merupakan satu tempoh yang lama. Kini ahli UMNO perlu diberi peluang menentukan kesinambungan Najib dan pemimpin seterusnya tanpa campur tangan dan tekanan luar," katanya.

Tegasnya lagi, UMNO adalah parti yang teruji serta matang, mempunyai sejarah yang panjang dan berpengalaman menempuh badai memacu Malaysia.

"Adalah menjadi keutamaan untuk terus mengutamakan parti dari mana-mana individu di dalamnya. Kami selaku ahli dan kepimpinan di peringkat akar umbi mempunyai keyakinan yang tinggi akan keupayaan parti ini menentukan masa depan parti.

"Sesungguhnya kami tiada niat untuk mempertikaikan usaha dan jasa Tun M dalam membangunkan negara ini sehingga Malaysia dikenali dan disegani di seantero dunia. Malah kami amat berterima kasih atas hasil kemajuan Malaysia yang telah ditinggalkan Tun M kepada kami semua," jelasnya.

Dalam pada itu Bastien turut berharap, Tan Sri Muhyiddin Yassin kembali merapatkan saf dan yakin kepada sistem parti sedia ada.

"Diharap Muhyiddin dapat kembali mengukuhkan parti. Perlu kita ingat, rakyat akan menentukan kedudukan kita setiap lima tahun melalui pelaksanaan Pilihan Raya.

"Oleh yang demikian, kekuatan kepada parti adalah vital dan merupakan keutamaan semua. Ini merupakan cadangan pandang kehadapan dari kami di peringkat akar umbi demi UMNO dan Malaysia tanpa sebarang prejudis serta mengutamakan kepentingan parti melebihi segalanya," katanya.