Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Tun Dr Mahathir Mohamad menegaskan beliau bukan individu bertanggungjawab dalam menentukan siapa calon perdana menteri Pakatan Harapan.

Tegasnya, jika rakyat memilih Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri, tiada alasan untuknya menolak pilihan rakyat.

Malah, beliau turut mengetepikan kisah silam antaranya dan Anwar Ibrahim.

"Saya pernah jumpa Anwar dan dia tidak boleh soal begitu dekat saya. Dia tidak pernah tuduh saya buat aniaya dekat dia atau tidak. Itu adalah perkara lama. Kalau kita nak ungkit perkara lama, sampai bila pun kita tidak boleh bersatu.

"Sama ada dia (Anwar) akan jadi perdana menteri ataupun tidak? Bukan saya yang nak tentukan. Kalau rakyat hendak Datuk Seri Anwar jadi perdana menteri, maka rakyat mempunyai hak memilih Datuk Seri Anwar.

"Kalau pun saya tak setuju tapi majoriti nak Datuk Seri Anwar, kita kena terima," katanya sebagai mejawab soalan salah seorang hadirin pada Program Nothing to Hide 2.0 di Dewan Raja Muda Musa di sini hari ini.

Justeru, beliau meminta rakyat Malaysia untuk tidak mempersoalkan perkara tersebut kerana ia akan menjejaskan objektif utama Pakatan Harapan untuk menang Pilihan Raya Umum ke-14.