Bukanlah sesuatu yang pelik apabila Tun Daim Zainuddin dan Tan Sri Rafidah Aziz membuat kenyataan atau melakukan tindakan yang menunjukkan sokongan terbuka mereka kepada Pakatan Harapan kerana kedua-dua mereka merupakan bekas penyokong kuat Tun Dr Mahathir Mohamad.

Penganalisis politik, Dr Kamarul Zaman Yusoff berkata kedua-duanya adalah tokoh politik yang dinaikkan oleh Mahathir, dengan Daim sebagai Menteri Kewangan dan Bendahari Umno manakala Rafidah sebagai Menteri Perdagangan dan Ketua Wanita Umno.

“Selain banyak terhutang budi dengan Mahathir, mereka juga tidak mempunyai kedudukan dan kepentingan dalam kerajaan sekarang menyebabkan mereka bebas mengkritik kerajaan,” katanya.

“Di peringkat dasar, mereka lama berkhidmat dengan Tun Mahathir juga berkongsi banyak falsafah pemerintahan terutamanya dari sudut ekonomi dengan beliau. Justeru munasabahlah mereka menyokong beliau,” katanya.

Sementara itu, Kamarul Zaman berkata, Tan Sri Dr Rais Yatim pula pernah menentang Mahathir pada 1987 sebelum diberikan jawatan menteri kembali oleh beliau selepas parti Semangat 46 dibubarkan dan hingga kini masih ada jawatan dalam kerajaan.

Selain itu katanya, Rais juga adalah pemegang PhD dalam bidang undang-undang perlembagaan dan cuba memperlihatkan prinsip keintelektualan beliau tanpa terlalu terikat kepada disiplin parti.

“Pada masa yang sama, Rais juga seakan-akan memilih jalan selamat dengan memastikan beliau tidak akan terpinggir jika Harapan mengambil-alih tampuk pemerintahan negara,” katanya.

Bagaimanapun katanya, ketiga-tiga mereka telah melewati zaman kegemilangan politik mereka.