Parti Warisan Sabah (Warisan) sekali lagi terpalit dengan kontroversi selepas penyokong parti itu didakwa menghalang calon Barisan Nasional (BN) Datuk Mohamad Alamin ketika melakukan lawatan di Kampung Batu 16, di sini, pada Ahad.

Ketua UMNO Sabah Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, seorang individu yang didakwa memakai baju Warisan telah bertindak "menyoal siasat" tujuan Mohamad berada di lokasi tersebut.

Justeru, katanya, pihaknya kini mempertimbangkan untuk membuat laporan berhubung perkara itu.

"Saya harap pihak polis dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sendiri menyiasat perkara ini supaya jangan berlaku.

"Sebab, kalau ini berterusan, kita pun terpaksa mengerahkan pasukan keselamatan masing-masing, dan ini (akan) mewujudkan ketegangan," katanya pada Selasa.

Mengulas lanjut, beliau turut menasihatkan Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, yang juga Presiden Warisan, supaya menjaga penyokong-penyokong parti agar tidak berlagak samseng.

Selain itu, Mohd Shafie diseru supaya bersaing secara 'gentleman' sempena kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kimanis yang sedang berjalan.

"Saya minta sahabat saya ini gentleman dalam PRK ini. Jadi gentleman. Saya tak pernah serang beliau secara personal, tetapi saya serang kelemahan parti beliau," katanya.

Mengulas dakwaan tersebut, Mohd Shafie menafikan sekeras-kerasnya bahawa pihaknya berlagak samseng.

Katanya, berdasarkan pengetahuannya, kejadian yang dimaksudkan tidak pernah berlaku.

Namun beliau tidak menolak akan menasihatkan para penyokong sekiranya ia benar-benar terjadi.

"Sejauh pengetahuan saya tidak ada. Jangan besarkan yang tidak ada. Kalau pun ada, kita akan nasihatkan," katanya ketika ditemui media di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Kampung Mawao, Membakut, pada Selasa.

Mengulas mengenai cabaran Bung Moktar pula, Mohd Shafie meminta perkara berkenaan untuk tidak diperbesarkan semua pihak.

"Tidak apalah, itu jangan besarkan," katanya.