Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin berang apabila mendapati terdapat pemimpin pihak lawan bertindak menceroboh markas Pusat Daerah Mengundi (PDM) parti itu di Kimanis.

Beliau menuduh perkara itu dilakukan oleh seorang 'naib presiden' parti lawan di Kuala Pos, Ulu Kimanis pada petang Selasa.

"Kita tidak menceroboh markas orang, macam dia buat tadi petang di Kuala Post, saya di pusat PDM, dia serbu markas kita, dia menyanyi, dia menari.

"Ini terlampau biadab, kurang ajar. Saya minta dia jangan buat, kerana jika dia buat waktu saya ada, dia akan susah," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media di Markas Utama BN, Kimanis Centro, Kimanis, pada Selasa.

Sementara itu, perang saraf antara parti yang bertanding semakin 'panas' dengan isu penghijrahan ahli dan penyokong dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Kimanis.

Bagi pihak Barisan Nasional (BN) kemasukkan seorang ahli daripada pihak lawan, Warisan-PH, Pengiran Yusuf Pengiran Abdullah yang merupakan Ahli Jawatankuasa (AJK) Warisan Bahagian Kimanis, pada hari ini.

Bung berkata, kemasukan Pengiran Yusuf yang juga Ketua Cawangan Kampung Seri Serbang, Bongawan itu mampu melonjakkan momentum pihaknya menjelang hari pengundian nanti.

Jelasnya, kemasukkan terbabit juga disusuli dengan kira-kira 200 ahli Warisan dari cawangan tersebut dengan serta merta pada hari ini untuk menyertai BN.

"Yang macam kita dapat bukan macam Warisan, dia buat video, buat wayang, kita tidak.

"Sebab kita tahu kita pembangkang, kalau kita buat wayang orang tidak akan hormat kita, yang datang ini memang kualiti punya pemimpin," katanya.